7 Poin Paling Penting Untuk Berjaya Dalam Pengurusan Kewangan

22 November 2015 by John Doe.

Assalamualaikum bro & sis! Alhamdulillah, baru-baru ini gua berkesempatan menghadiri dua program berkaitan pengurusan kewangan. Pertamanya, Love & Money anjuran UNRIBA bersama para pelajar dari KENMS, UIA. Keduanya, Simposium Pengurusan Ringgit SUPER 2015 anjuran Biro Profesional Muda.

Cerita panjang lebar mengenai tersebut gua telah tuliskan di sini. Jika mahu baca lebih mendalam, sila ke sana. Cuma untuk pembaca 7Senarai, gua akan kongsikan 7 poin PALING PENTING rumusan dari program berkenaan.

1. Berani menjadi yang lain

Dalam dunia, orang yang kaya dan berjaya jumlahnya sedikit. Contohnya, orang yang menggaji sedikit manakala orang yang makan gaji ramai. Ini kerana mereka berani mengambil risiko menjadi golongan yang sedikit itu. Tatkala orang lain sibuk membelanjakan wang, mereka cekal melawan arus menyimpan malah membuat wang pula. Jadi, lihat dan belajar apa orang yang sedikit ini buat dan beranikan diri melakukan perkara sama yang mereka lakukan.

2. Memupuk semangat keusahawanan

Seperti poin di atas, tak ramai yang berani melawan arus untuk berfikir keluar dari kotak. Masih banyak lagi ruang yang boleh diteroka. Jangan asyik menanti peluang datang, akan tetapi kita sendirilah yang kena buka peluang untuk orang lain. Jika anda berani berbuat demikian mulai sekarang, anda boleh bandingkan kejayaan anda suatu hari nanti dengan rakan seangkatan anda yang masih makan gaji.

3. Cipta nilai untuk orang lain

Orang putih panggil ‘create value’. Nabi SAW beritahu agar jadi orang yang paling bermanfaat untuk orang lain. Ciri orang yang bermanfaat adalah:

.   + Dapat bagi makan orang yang lapar
.   + Dapat bantu orang lunaskan hutang

Maka, cari kelebihan kita dan bantu orang lain secara sukarela dan senang hati. Ini satu pelaburan besar yang kita takkan sangka pulangannya.

4. Fahami definisi kejayaan

Kejayaan bukanlah apabila menjadi kaya dan mempunyai segala-galanya. Tetapi kejayaan adalah apabila dalam kekayaan, kita masih berjaya patuh terhadap apa jua suruhan dan larangan Allah SWT. Jadi fahami erti kejayaan sebenar dan betulkan niat serta langkah kita menuju kearahnya.

5. Ilmu dan iman sangat penting

Sangat penting untuk berilmu. Ilmu kalau tak ada perlu dicari, iman pula perlu diusahakan. Ilmu sebagai alat manakala iman sebagai teman. Ada banyak ilmu yang boleh dipelajari untuk mencapai kekayaan dan iman sebagai pembantu kita dalam membuat keputusan. Adakah jalan itu diredhai atau jalan yang dimurkai?

6. Fokus kepada target yang ingin dicapai

Sentiasa fokus kepada target yang ingin dicapai. Susun mengikut prioriti dan laksanakan pelan tindakan satu persatu. Jangan serabut dengan pelbagai impian sehingga akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

7. Hargai keluarga

Allah SWT beri orang yang menyayangi kita disekeliling. Kita ada ibu dan ayah, hargai mereka dan balas jasa mereka. Kita ada isteri dan anak-anak, kasihi mereka. Jangan anggap mereka semua sebagai beban kewangan kita. Walhal merekalah sebenarnya sumber rezeki kita. Kita kadang-kadang yang sebenarnya menumpang rezeki mereka.

Semoga artikel ini dapat menjadi pencetus kejayaan anda!

Penulis

  • Bijen M.

    Lulusan IT dengan pengkhususan dalam Kejuruteraan Perisian & Pengurusan Korporat, kini berusaha membina potensi modal insan di sebuah syarikat petrokimia di Kerteh, Malaysia. Dalam masa yang sama memberi masa secara sambilan mempelajari bidang agama, usul dakwah, pengurusan kewangan dan psikologi. Menulis di #notasiku.