7 keistimewaan yang anda dapat jika simpan emas

5 October 2015 by John Doe.

Emas merupakan logam berharga yang paling tinggi nilainya. Emas sangat berharga hinggakan orang akan berebut-rebut untuk melompat ke dalam kolam yang mempunyai syiling emas berbanding kolam yang mengandungi syiling yang diperbuat dari logam lain.

Jika anda seorang muslim, maka anda telah ketahui yang emas dan perak merupakan antara perkara yang diulang-ulang di dalam al-Qur’an yang disebut sebagai perhiasan di dunia dan di syurga nanti. Kita juga ketahui yang medium transaksi yang digunakan oleh zaman dahulu ialah emas dan perak, membuktikan emas dan perak merupakan logam yang berharga lagi dipercayai.

Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan 7 keistimewaan yang para pembaca sekali akan nikmati jika anda menyimpan emas sekarang.

Keistimewaan #1: Mudah dibawa ke mana-mana

Emas ialah aset yang paling mudah alih. Anda boleh simpan di dalam kocek seluar, di dalam beg atau di mana-mana. Jika anda mempunyai aset seperti rumah, tanah atau binatang ternakan, ia tidak boleh dialihkan atau nak bawa ke mana-mana. Jika saya bekerja di Kuala Lumpur kemudian dipanggil untuk berkhidmat di Johor, saya boleh bawa emas atau kekayaan saya di dalam beg dan menuju ke Johor.

Tahukah anda, sewaktu peperangan Amerika Syarikat dengan Vietnam, rakyat Vietnam melarikan diri meninggalkan negara mereka. Mereka tinggalkan semua harta mereka kecuali emas! Tiba di negara baru, mereka boleh mendapatkan bekalan makanan, tempat tinggal dan pakaian dengan bermodalkan emas yang mereka bawa.

Sewaktu perang, anda tidak boleh bawa tanah, kondominum yang anda miliki bersama anda untuk ke tempat lain,kecuali logam emas.

Keistimewaan #2: Kekayaan aset dijamin

Apabila anda menyimpan emas, nilainya ada ditangan kita sendiri. Berbeza dengan duit kertas yang nilainya ditentukan oleh kestabilan ekonomi negara, stok yang ditentukan oleh pasaran saham, unit amanah yang dikawal dan diselia oleh fund manager.

Menyimpan duit kertas di bank lebih selamat? Bagaimana pula situasi yang melanda Greece baru-baru ni? Bank-bank di Greece menghadkan jumlah pengeluaran bagi setiap individu yang mendepositkan duit mereka di bank masing-masing. Menyimpan di bank tiada syarat, tetapi jika mahu keluarkan duit kita macam-macam syarat dikenakan.

Keistimewaan #3: Mudah ditunaikan

Emas sangat senang ditukar kepada tunai jika penyimpan emas ingin menggunakan duit sewaktu kecemasan atau untuk perkara yang lain.  Pergi saja ke mana-mana kedai emas untuk mendapatkan tukaran tunai atau boleh ke mana-mana ar-Rahnu untuk pajakkan emas bagi mendapatkan pinjaman.

Jika suka travel, bawa sekali kepingan-kepingan emas sebab emas tetap laku kerana emas merupakan logam berharga. Jika emas yang anda simpan mendapat pengiktirafan London Bullion Market Association (LBMA) maka ia lebih baik. LBMA merupakan badan keahlian yang ahlinya terdiri bank-bank dunia dan juga peniaga dan pengilang emas dan perak yang diiktiraf di peringkat dunia.

Keistimewaan #4: Boleh dijadikan modal pusingan

Kalau di bank, mereka mendapat keuntungan dengan rolling duit pendeposit yang kita sendiri tak tahu bagaimana dan banyak mana kekayaan kita digunakan untuk keuntungan pihak bank.

Dengan emas kita juga boleh mendapatkan keuntungan dengan rolling emas kita. Jika anda memerlukan modal untuk berniaga, pergi saja ke ar-Rahnu yang berdekatan untuk pajak emas kita bagi mendapatkan pinjaman mengikut kadar dan nilai semasa. Bila sudah dapat keuntungan, tebus semula emas yang dipajakkan dan simpan emas tadi untuk rolling balik jika memerlukan modal lagi.

Akhir sekali, kita masih ada emas selepas ditebus semula dan keuntungan tunai hasil dari perniagaan.

Keistimewaan #5: Kalis inflasi zaman-berzaman

Tahukah anda, zaman dulu 1 dinar boleh beli seekor kambing. Sekarang ni harga 1 dinar lebih kurang RM650-RM700 (bergantung kepada peniaga emas).  Kuasa membeli dengan dinar masih kekal walaupun dah menjangkau beberapa ratus tahun.

Kalau dulu kita cukup bawa duit RM1 ke sekolah dah cukup mengenyangkan, sekarang ni ada yang bawa RM5 – RM10 ke sekolah untuk berbelanja sewaktu masa rehat.

Keistimewaan #6: Kekayaan bertahan lama

Ada penyimpan emas yang menyimpan emas hanga 1 gram sebulan. Jika amalan itu dilakukan selama 10 tahun, maka si penyimpan sudah menyimpan 120 gram emas bersamaan lebih kurang RM20 ribu dan ke atas. Dan perlu diingat, nilai emas menaik dalam jangka masa yang panjang. Semakin lama menyimpan, semakin menaik nilai emasnya.

Ini antara tips yang sangat bagus untuk penyimpan emas mengekalkan kekayaannya. Jika melabur di ASB, kita asyik-asyik selak muka surat buku ASB nak tengok berapa nilai kekayaan kita.

Jika kita menyimpan emas, kita tak kira RM tetapi gram. Dari sudut emosi, RM170 lebih besar dari 1 gram emas walaupun secara relatifnya 1 gram emas bersamaan RM170.

Dengan cara ini, penyimpan emas akan berusaha untuk menambah gram setiap masa tanpa memikirkan nilai sebenar dan makin lama makin kaya si penyimpan emas tanpa disedari. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Keistimewaan #7: Penyimpan ialah seorang yang kaya

Di dalam Islam, jika anda membeli 10 buah kereta, anda tidak dikenakan zakat, tetapi jika nilai emas anda menyamai atau melebihi 85gram, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Walaupun nilai kereta menjangkau jutaan ringgit, tetapi tak wajib bayar zakat berbanding nilai emas dalam simpanan kita sekitar RM15 ribu dah kena bayar zakat.

Ini sebagai penanda aras yang orang yang menyimpan emas ialah orang yang kaya lagi berharta dan orang yang berzakat pula ialah orang yang berharta.

Semoga artikel ini sedikit sebanyak membuka mata pembaca sekalian untuk mempertimbangkan emas sebagai pelindung kekayaan anda.

Penulis

  • Fahmi Shah

    Mohammad Fahmi, 25 tahun, suami orang, implementation analyst di salah sebuah syarikat IT di Selangor.

  • Iwani

    MasyaAllah. Artikel paling tidak membosankan saya pernah baca tentang emas dan sangat meyakinkan.

    Bro Fahmi, untuk point no 4 tu saya kurang faham. Boleh terangkan sikit?

    • Saya dah re-phrase semula ayat bagi senang faham. Hehe.

      • Iwani

        Thanks bro Fahmi! Saya dah faham :D