7 perkara cool tentang abah saya nukilkan pada hari jadinya

6 March 2016 by John Doe.

Tanggal 6 Mac 2016 merangkap tarikh harijadi yang ke banyak puluh abah. Berapa puluh saya rahsiakan sebab nanti dia kecewa bila tidak lagi dipanggil bro!

Pada hari ini, saya ingin berkongsi 7 perkara cool tentang abah sepanjang dia membesarkan saya.

1. Dedahkan saya kepada pelbagai aktiviti sukan

Sejak saya berumur 5-6 tahun lagi, abah telah dedahkan saya kepada aktiviti sukan. Antaranya dia ajar saya main bola sepak, main basikal, hantar saya ke kelas berenang yang saya hanya pergi selama 30 minit dan yang paling saya ingat, dia telah membeli satu set golf untuk kanak-kanak (diperbuat daripada besi bukan plastik!) dengan harapan saya akan menjadi Tiger Woods Malaysia satu hari nanti. Saya juga telah dibawa ke padang golf untuk berlari-lari dari kecil lagi.

Malangnya, cita-cita abah tak kesampaian sebab pada satu malam sewaktu saya sedang berlatih, kepala golf club (jenis driver okay!!!) telah tercabut dan terpelanting ke arah kepala abah dan dengan serta-merta saya digantung dari bermain golf.

Karier golf saya berakhir di situ.

Tip Parenting: Sewaktu anak kecil lagi, kita kena cuba dedahkan dia kepada pelbagai perkara yang bermanfaat dan biarkan dia memilih aktiviti yang disukai untuk dijadikan hobi. Jangan sesekali memaksa anak menyukai sesuatu atas kemahuan kita sendiri! Kita hanya sediakan platform, buka ruang dan beri peluang pada mereka.

2. Ajar saya cara tengok jam manual

Antara skill yang kita akan belajar dalam hidup ialah skill tengok jam. Ramai ibu bapa akan hadiahkan jam tangan digital sebagai jam pertama kepada anak mereka.

Berbeza dengan abah.

Sewaktu saya masih kecil yakni sebelum mula sekolah lagi, abah telah membuat jam manual menggunakan kadbod. Jam tersebut lengkap dengan nombor-nombor yang abah tulis dengan marker serta jarum saat, minit dan jam yang boleh dipusing.

Bila masuk sekolah dan belajar baca jam dalam kelas, saya dah expert! Dan tak lama kemudian, saya sudah boleh membaca jam manual tanpa nombor.

Tip Parenting: Sebagai ibu bapa, kita wajib menurunkan ilmu dunia dan akhirat kepada anak. Setiap ilmu yang dia praktik ke arah kebaikan dan sebarkan sudah pasti dijamin ganjaran kepada kita kelak.

3. Semak karangan bahasa Inggeris saya

Abah pindahkan saya ke sekolah yang memerlukan saya untuk mahir dalam bahasa Inggeris sewaktu saya berumur 11 tahun.

Bukan saja culture shock yang saya alami waktu itu malah segala circuit dalam kepala saya hampir meletup! Berbanding adik lelaki saya, saya mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri di sekolah baru itu.

Cikgu bahasa Inggeris saya garang tapi sangat berdedikasi mengajar kami. Saya juga kena belajar silibus Singapura waktu itu. Hari-hari saya balik menangis sebab tak pandai buat homework.

Di waktu yang sukar itu, abah banyak membantu saya. Lepas siap apa-apa homework karangan bahasa Inggeris, saya akan bagi abah baca dan abah akan beri komen.

Dari situlah bermulanya minat saya kepada menulis dalam bahasa Inggeris.

Tip Parenting: Luangkan masa sebanyak mungkin dengan anak sewaktu dia membesar. Dia membesar dengan sekelip mata dan masa berlalu dengan begitu cepat. Sesibuk mana kita dengan rutin harian, luangkan masa untuknya terutama berkenaan dengan pelajaran dan hobinya.

4. Memperkenalkan saya kepada komputer

Saya bertuah kerana abah memperkenalkan saya kepada komputer agak awal. Sewaktu saya berumur 11 tahun, rumah saya telah memiliki sebuah komputer Acer yang diletakkan dalam bilik saya.

Tip Parenting: Ini sudah tidak selamat lagi okay pada zaman sekarang! Komputer harus diletak di ruang umum di rumah, bukan di bilik anak.

Komputer pertama saya itu hadir dengan sebuah printer yang sangatlah bising. Kawan-kawan saya kena pergi ke perpustakaan atau beli buku untuk menyiapkan projek sekolah. Saya hanya perlu menggunakan perisian Encarta Encyclopedia dan Creative Writer untuk menyiapkan projek saya. Projek saya antara projek yang paling lengkap dan cantik sewaktu itu.

Sebagai budak baru di sekolah, ini telah menaikkan ranking sosial saya!

Encarta Encyclopedia adalah pengenalan awal kepada informasi di hujung jari bagi saya.

Dan game dalam bentuk diskette adalah perkara paling cool pada waktu itu!

5. Beli domain pertama saya

Dalam jangkamasa yang singkat dari point ke-4, saya telah diperkenalkan kepada Internet oleh abah.

Dan tak berapa lama selepas itu, saya telah mula membina laman web pertama saya di Angelfire seterusnya Geocities.

Dan saya mula menggunakan perisian Microsoft FrontPage untuk saya mentelaah dunia laman web dengan lebih mendalam.

Sepanjang saya di sekolah menengah, saya telah membina beberapa laman web personal dan komuniti. Antara yang paling menggamit memori indah ialah laman web saya dan kawan baik saya yang kami namakan Empty Decorations iaitu tempat kami kumpulkan cerpen dan novel fan-fiction tentang kumpulan yang kami minati, The Moffatts. Semuanya ditulis kami sendiri dan laman web itu dibina dan dikendalikan 100 peratus oleh saya sendiri.

Kami telah menumpang server dan domain seseorang pada waktu itu dan dari situlah saya dapat tahu kita boleh ada domain dan hosting sendiri.

Pada tahun berikutnya, abah belikan saya domain pertama saya. Dan ia sangat mahal!

6. Sangat menyokong minat saya dalam pembinaan laman web

Mak meminta saya untuk mengisi borang UPU selepas SPM dan berharap yang saya akan masuk UIA namun saya dan abah telahpun memilih universiti yang saya akan pergi sejak saya berumur 14 tahun lagi.

Selepas tamat pengajian di universiti, saya meneruskan minat saya dalam pembinaan laman web dan abah tidak putus-putus menyokong saya sehingga kini.

Saya tak nafikan adanya rasa terkilan bila fikirkan tentang peluang yang saya telah lepaskan untuk menjadi graduan UIA dan kemungkinan dapat jadi manusia yang lebih baik dan bermanfaat di usia yang lebih awal namun apa yang terjadi adalah sebaik-sebaik rancangan olehNya.

Tip Parenting: Walaupun pada asasnya kita tidak patut memaksa anak minat pada sesuatu tapi sebagai ibu bapa, kita boleh mencorak minatnya kepada sesuatu yang kita rasa bermanfaat. Sebagai contoh, pilihan abah ialah untuk mendekatkan saya kepada dunia komputer sejak kecil lagi dan ternyata, ia menjadi minat dan akhirnya karier saya.

7. Memperkenalkan saya kepada muzik

Saya sengaja letakkan perkara ini paling akhir sekali kerana muzik adalah subjek yang paling dekat di hati sejak saya kecil lagi.

Walaupun pada usia saya sekarang – setelah berhijrah 6 tahun lalu – saya lebih berhati-hati dengan muzik, namun saya tidak akan menafikan betapa muzik telah mencorak watak dan hidup saya.

Abah telah memperkenalkan saya kepada muzik dan antara lagu-lagu yang dia akan pasang kuat-kuat dalam kereta putih (tak ingatlah brand apa) sejak saya berumur 5-6 tahun ialah:

  • Luther Vandross – All The Woman I Need
  • Whitney Houston – All The Man That I Need

Dan lagu-lagu lain:

  • Elton John – Daniel
  • Lou Reed – Perfect Day
  • Leonard Cohen – First We Take Manhattan
  • Jethro Tull – Aqualung

Serius, lagu Aqualung sewaktu saya dengar pertama kali saya rasa lagu yang sangat super genius! Abah akan pasang dalam kereta kuat-kuat dan mak akan pening!

Adik-adik lelaki saya mewarisi minat abah kepada Led Zeppelin dan Pink Floyd, malangnya waktu itu saya sudah terjebak dengan The Moffatts!

Tip Parenting: Ia suatu yang sangat manis bila kita dapat berkongsi minat kita dengan anak dan mereka pun kembali meminatinya. Cari minat yang bermanfaat untuk kita kongsikan dengan anak. Ia pasti akan menjadi aktiviti yang seronok dan bakal menjadi memori indah bagi anak.

Penutup

Ini baru 7 perkara cool tentang abah yang saya dapat nukilkan. Untuk ceritakan yang lain, mana mampu seumur hidup dan berjilid buku!

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati umur abah dan semoga abah terus dilimpahkah dengan kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

Allahumma amin.

Penulis

  • Iwani Khalid

    Pernah ada blog diberi nama Orang Type Banyak. Tapi dah insaf dan cuba untuk type sedikit tapi bermanfaat diselit sedikit dry humour. Pelajar Bahasa Arab yang berdedikasi. Bekerja sebagai freelance web designer untuk menampung kehidupan. Berazam untuk mengelola sebuah akademi belajar Bahasa Arab dan Al Quran di Cyberjaya! Masih single dan mencari bakal imam ..... chop! Jangan nak bakal imam I sangat, you please solat kat masjid taw!