7 Perkara Perlu Diubah Untuk Hidup Lebih Gembira

25 September 2015 by John Doe.

Di umur tiga siri kini, saya kira saya sudah ada sesuatu yang berbaloi untuk dikongsi dengan adik-adik yang umurnya di bawah saya. Saya baru 33 tahun tapi apa yang saya buat rasanya tidak ramai yang pernah buat. Jika ada, anggap saja ia perkongsian peribadi dari saya.

1. Beli Hanya Jika Perlu

Sebelum meneruskan pembelian, ada baiknya anda bertanya kepada diri sama ada apa yang mahu dibeli tersebut adalah kemahuan atau keperluan. 

Contohnya: iPhone 6s. Dalam masa yang sama anda sudah mempunyai iPhone 6 yang belum lagi berusia dua tahun, kenapa mahu upgrade hanya kerana Apple melancarkan iPhone 6s?

Jika anda baru ada dua orang anak, kenapa mahu beli Vellfire? Kereta adalah pilihan. Rumah adalah keperluan. Baik beli rumah yang selesa kena dengan kemampuan kita! Pakai Myvi sudah!

2. Hidup Di Bawah Kemampuan

Hendaklah sentiasa hidup di bawah kemampuan tapi hendaklah sentiasa upgrade kemampuan tersebut supaya anda boleh hidup di bawah kemampuan yang sudah di’upgrade.  

Tidak faham? Baiklah. Ini contoh:

Jika anda mempunyai kemampuan untuk membeli kereta Vios, anda hanya perlu membeli kereta Viva atau Myvi sahaja. Dalam masa sama, anda harus berusaha untuk upgrade kemampuan anda untuk membeli Camry pula. Pada masa itu, baru anda boleh upgrade kepada Vios. Begitulah seterusnya. Untuk membeli Camry, anda kena upgrade kemampuan untuk membeli Harrier atau Land Cruiser mungkin? Tiada yang mustahil. Cuma kena ingat: Hidup di bawah kemampuan dan sentiasa upgrade kemampuan sekarang.

3. Less Is Always More

Setiap kali buat majlis makan-makan, kawan-kawan akan bertanya kenapa rumah saya kurang perabot. Saya menjawab, “Aku pukul 7 malam masih kat ofis. Pukul 10 pula sudah ‘padam’. Bila masa nak duduk atas perabot empuk?” sambil disambut hilai tawa mereka. 

Bukan.. Bukan.. Prinsip saya: Biar tiada daripada ada kalau ada pun tidak berguna dan tidak menambah nilai pun kepada kehidupan diri dan keluarga. Bukan saya tidak mampu membeli perabot. Cuma saya lebih suka rumah kelihatan luas. Isteri pun suka begitu. Senang nak maintain katanya. Less Is Always More.

P/s: Rumah saya tak ada Astro!

4. Tukar Kawan

Tukar kawan? Ya. Anda tidak salah membaca.

Kita sekarang hidup di zaman global. Tidak susah untuk meninggalkan kawan yang mengajak ke arah yang tidak baik dan mencari kawan seimpian yang mengajak ke arah kebaikan dan kebajikan. 

Saya pernah menghadiri satu seminar perniagaan yang dihadiri beribu peserta di ibu kota. Tujuan utama saya bukan untuk mendengar apa yang disampaikan oleh motivator tersebut (tapi ilmu beliau tidak boleh dipandang rendah) tapi saya mahu berkenalan dengan beribu peserta dari seluruh Malaysia yang sedia positif. Mana nak cari beribu manusia positif yang berkumpul di satu tempat bukan? 

Apa akan jadi kalau anda tukar kawan sekarang dengan beribu orang yang mindanya sedia positif? Sudah tentu anda semua akan menjadi hebat bersama! Jadi, sila tukar kawan. Tak rugi meninggalkan mereka. Dalam masa yang sama, tunjukkan contoh kepada kawan yang anda tinggalkan. Pasti mereka juga akan meninggalkan kawan teruk mereka dan mahu bersama dengan orang berjaya seperti anda.

5. Hidup Sistematik

Hidup bersistematik agak susah untuk diterapkan oleh orang yang tidak biasa hidup secara terurus. Baju, seluar semua pakai sampai bau hapak. Nak susun kasut pun bukan main payah.

Kalau orang lain boleh buat, tidak mustahil anda juga boleh. Pokoknya pangkalnya; mesti cuba.

Percaya atau tidak, dalam banyak-banyak gelas/ cawan yang ada di rumah saya, saya hanya guna dua. Satu untuk minum air kosong. Satu lagi untuk minum air manis. Anak-anak saya juga mempunyai gelas masing-masing. Tak lupa juga emaknya. Masing-masing ada dua gelas sendiri, dengan fungsinya yang tersendiri. 

Kabinet baju, suku.

Kabinet seluar, suku.

Tempat gantung baju, suku.

Tempat gantung seluar, suku.

Seluar kecik, baju yang bukan di luar, stokin dan lain-lain yang private, akan diasingkan di tempat berlainan. 

Set pakaian yang akan dipakai esok akan diletakkan di satu tempat yang mudah dicapai esoknya. 

Anak kunci kereta, beg tangan, smartphone dan jam diletakkan di dalam bekas khas di dalam bilik. Wangian, minyak rambut dan deodorant sudah tersedia di dalam bekas yang dikhaskan untuknya. 

Pendek kata, semuanya tersusun. Mungkin ramai yang tercengang tidak percaya tapi bagi saya dan keluarga, semua itu adalah biasa. Akan ada kekurangan di mana-mana dan akan berlaku setiap masa tapi kami berjaya atasinya dan menerima kekurangan masing-masing. 

Ya, saya tahu ini adalah satu penyakit. Ia dipanggil penyakit perfectionist. Semuanya nak perfect. Kalau tak perfect, tak boleh jalan. Bukan begitu. Manusia tidak akan selamanya sempurna. Kalau ‘penyakit’ ini membawa kebaikan, tak rugi untuk terus ‘berpenyakit’ kan? Harap-harap ianya berjangkit kepada pembaca artikel ini. ;)

6. Bangun Awal, Tidur Awal

Saya tidur seawal 9:30 malam. Paling lewat pun pukul 11:00 malam. Saya akan bangun seawal 5:30 pagi. Paling lewat pun pukul 6:00 pagi. Ianya biasa? Tidak bagi saya, sebab saya bukan warga kota yang kerja masuk pukul 9:00 pagi balik pukul 5 petang. 

Bangun awal membolehkan saya membuat aktiviti yang tidak ramai orang suka tidur suka buat iaitu bersenam. Setiap pagi, saya akan berlari atau berbasikal sejauh 5 km minimum. 

Bila kali terakhir anda menghirup udara pagi tanpa asap dan ditemani bunyi bising kenderaan?

Jika sekarang anda seorang yang suka tidur lewat malam, cuba ubah secara perlahan-lahan. Jika sebelumnya anda tidur pukul 3:00 pagi, cuba ubah untuk tidur sebelum pukul 1:00 pagi. Perlahan-lahan turunkan masa kepada sebelum pukul 12:00 pagi, 11:00 malam seterusnya 10:00 malam. Bila sudah biasa dengan tabiat begini, kawan-kawan ajak lepak mamak lewat malam pun malas! Lebih baik tidur! Esok bangun solat Subuh kat masjid dan keluar jogging lagi bagus!

7. Tepati Janji. Turun Awal, Sampai Awal 

Saya sudah remove banyak kawan yang jenis tidak tepati janji bila mahu berjumpa. Sudah menjadi tabiat saya yang akan sampai seawal 15 minit sebelum masa yang dijanjikan. Masalahnya, tidak ramai orang kita (mungkin hanya kawan saya) yang menepati janji. Kita yang menunggu sudahlah sampai awal 15 minit dari masa yang dijanjikan, kena tunggu beliau pula setengah jam pun belum nampak batang hidung! Apa saya buat? Bila beliau datang, saya bangun dan terus balik. Dalam perjalanan, scroll nama beliau di Facebook dan terus unfriend

Saya ada seorang kawan seorang freelance photographer. Beliau dapat job untuk khidmat fotografi perkahwinan seorang kawan. Beliau tinggal di Gombak. Tempat majlis berlangsung adalah di Shah Alam. Masa yang ditetapkan untuk beliau ada di sana adalah pada pukul 8:30 pagi. Beliau bertolak dari Gombak pukul 8:45 pagi. Itupun nasib baik kawan sebilik yang tolong kejutkan. Bila sampai di tempat majlis diadakan, beliau dihalau oleh ayah pengantin dan terus putus kawan dengan kawan beliau sejak sekolah rendah tersebut.

Untuk sampai awal, kena turun awal. Untuk turun awal, kena tidur awal. Untuk tidak tertinggal apa-apa masa mahu menghadiri apa-apa acara/ pergi kerja/ bercuti, rancang kehidupan betul-betul. Tidak mampu buat semuanya sendiri dan tidak boleh harapkan kawan yang ada sekarang? Tukar kawan!

Saya harap, 7 senarai ini akan sedikit sebanyak membantu untuk mengubah gaya hidup dan mindset pembaca. Kalau tidak dapat ambil semuanya, ambil sedikit-sedikit dan ubah secara berkala. Anda akan berterima kasih kepada saya jika hidup anda akan terasa lebih baik selepas ini!

Penulis

  • Affuan

  • Iwani

    MasyaAllah! Artikel yang sangat sempoi tapi padat dengan nasihat2 berguna!

    Paling suka contoh #3 dan #4 (part gelas tu!!!)