7 pentunjuk untuk tahu kita telah lalai

Saya harus nukilkan apa yang telah terjadi supaya ia abadi di dalam hati dan minda saya.

Pada tahun 2010, saya buat keputusan untuk tinggalkan beberapa perkara kerana Allah SWT. Keputusan itu dibuat setelah saya menonton syarahan Sheikh Kamal Al Mekki bertajuk “Giving up something for the sake of Allah”

Alhamdulillah, selama hampir 6 tahun saya mampu bertahan, memegang teguh pada ikrar saya. Beberapa bulan yang lalu selepas Eidul Fitri, saya mula kembali pada yang paling sukar sekali pada saya – muzik.

Sebelum anda ketawa, saya dahulu lebih awal ketawa berguling sampai menangis, berteriak. Tampak remeh muzik tapi ia dah terlalu sebati dengan diri saya sehingga menyebabkan saya jauh. Terlalu jauh dari yang patut saya dekat suatu ketika dahulu.

Dan sungguh, saya tak mahu ulang tayang zaman gelap itu lagi. Saya hampir, hampir, hampir hanyut kali ini….

Tapi…

Malam ini, Allah SWT kembalikan saya. Allah SWT ilhamkan saya untuk melihat, mendengar, membaca dan mengingati beberapa perkara.

  • Saya terserempak dengan interview seseorang yang telah berhijrah dari dunia muzik dan dia berkata, dia tidak sedikitpun merindui kehidupan yang dulu. Ia hanyalah satu memori yang dah menjadi sejarah dan dia tak berkehendak untuk mengulanginya kembali. Saya tunduk malu.
  • Saya teringat syarahan ustaz bro Nouman Ali Khan bertajuk “How we lose our Iman”. Dalam video tersebut, bro NAK sebut bagaimana kita selalu rasa kita kuat untuk hadapi sesuatu perkara yang sememangnya memberi pengaruh buruk – seperti kita rasa kita boleh lepak dengan kawan-kawan yang suka mencarut dengan harapan kita nak tolong kawan-kawan kita buang tabiat itu – malangnya, akhir sekali kita terjebak dengan tabiat mencarut. Saya lap satu titik air mata. Ya, saya tidak kuat.
  • Saya membaca satu post sahabat sekelas Bahasa Arab bagaimana dalam solat, dia ditegur Allah SWT on the spot tentang sesuatu yang dia sedang fikirkan sebab dia faham apa yang imam baca. Saya lap satu lagi titik air mata.
  • Dan yang paling penting, saya mula melihat dalaman dan luaran saya yang sedikit demi sedikit mula – kalau andaiannya adalah sebuah kereta – ia mula lari alignment. Kata orang, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Ah, saya tak mampu kesat air mata lagi sebab dah jadi waterfall. Dan no, saya tak nak, tak ingin, tak mahu, tak kuasa nak buat reference kepada mana-mana 3 perempuan yang anda sedang fikirkan itu. Pfft!

1. Ibadah kurang kualiti dan hilang fokus

Kita tahu diri kita siapa. Dan kita tahu apa yang melalaikan kita. Kita akan sedar bilamana ibadah kita semakin kurang kualiti, semakin hilang fokus.

Bagi yang dulu solat awal waktu, semakin leka kita lengahkan. Bagi yang qiamnya dan sujudnya dahulu panjang, semakin pendek kita biarkan. Bagi yang banyak hafalan Al Quran dan Hadis, semakin banyak tersasul, terlupa atau terbabas terus.

Kita tahu diri kita dan kita tak boleh tipu diri kita. Tak boleh.

Jangan buat tak endah pada bisikan hati itu —–

2. Mula ignore bisikan hati yang memberi peringatan

Saya tidak mampu untuk membuat referens yang tepat sekarang. Jika saya salah, betulkan.

Bisikan hati kita akan ada dua: baik dan buruk. Apabila kita mula jauh dari yang sepatutnya kita dekat, yang baik itu akan mula memberi peringatan dan yang baik itu akan berlawan dengan yang buruk.

Yang buruk itu, saya ingin dan suka untuk refer sebagai Al Khannaas (Surah An Naas, ayat 4). Al Khannaas ini sifatnya mengembang dan menguncup (pergh, takut tak?). Bila kita ingat Allah SWT, dia menguncup. Bila kita jauh, dia mengembang macam belon dalam cerita I.T yang akan meletup keluar darah!

Saat bisikan buruk mula mengembang, bisikan baik akan jadi sayup-sayup dan lama-lama hilang. Lesap. Allahu akbar.

Jangan bagi dia lesap.

3. Jadi awkard dan tak sure dengan diri kita

Bila kita bergelumang dalam kelalaian, kita hampir tidak boleh ekspres diri kita yang sebenar atau yang sedang kita ingin kecapi.

Saya kongsikan pengalaman peribadi saya. Baru-baru ini saya diperkenalkan kepada seseorang untuk tujuan perkahwinan. Pertama kali dalam 6 tahun setelah berhijrah saya tidak mampu, tidak boleh, tidak kuat malah teragak-agak untuk menyebut hobi saya adalah

“… belajar Bahasa Arab, pergi majlis ilmu, dengar lectures kat YouTube, baca Quran dan nak mantapkan tajwid … oh dan, muzik, wayang semua saya dah tinggalkan lama dah”

Kenapa saya teragak-agak untuk sebutkan?

Sebab terlalu leka dengan kelalaian sehingga saya mula doubt diri saya mungkin? Mungkin bisikan buruk itu ada berkata “Masihkan saya orang itu?”

4. Perbualan semakin ke arah duniawi

Apa yang kita bualkan dengan kawan-kawan dan orang sekeliling hari demi hari mencorakkan apa yang sedang berlaku pada dalaman kita sebenarnya.

Dulunya mungkin perbualan banyak berkisar tentang ayat Al Quran, sejarah Islam, sifat-sifat sahabat Rasulullah salallahu alayhi wasallam yang inspiring, amalan sunnah untuk dipraktikkan – semua itu telah digantikan dengan perkara duniawi.

Perkara duniawi melinkungi banyak aspek: politik, hiburan, kewangan dan bermacam lagi.

Sebagai contoh, dah 6 tahun saya tak tahu apa terjadi pada dunia hiburan – entah macam mana oleh sebab terlalu ralit mendengar dan melihat di YouTube – saya tahu perkembangan cinta terbaru Gwen Stefani dan saya jadikannya topik perbualan dengan kawan!

Aduh, rasa nak tampal keyboard pada muka saya sekarang!

Alhamdulillah hanya 4 di atas saya sempat lalui dalam tempoh yang menakutkan ini. Saya amat takut jika saya terus ke 3 yang seterusnya.

5. Mula lakukan tabiat lama yang telah lama ditinggalkan

Kita sentuh tentang fokus dan kualiti ibadah yang berkurangan pada awal artikel ini. Sekarang, kita nak baca tentang impak kelalaian pada tabiat kita.

Bila kita dalam kelalaian, kita kemungkinan akan kembali ke tabiat lama yang telah lama kita tinggalkan. Ia akan berperingkat dalam mempengaruhi kita.

Lelaki yang dah berhenti merokok, mungkin timbul rasa nak shisha.

Bagi yang sudah buat keputusan untuk tidak bersolek saat keluar rumah, mula menampal-nampal. Bagi yang sudah tidak mahu berbual dengan ajnabi, mulalah hi, hi, bye, bye, bae boo.

Bagi yang dah tinggalkan karaoke, mula berjinak dengan Smule. Mula-mula nyanyi sorang-sorang, seterusnya berdua dan selanjutnya upload rakaman di media sosial untuk di Like dan Komen kawan-kawan.

Semua bermula dari perkara yang konon-konon kecil seperti ini hinggalah ke —-

6. Mulanya rasa tidak bersalah langsung apabila membuat dosa

Dosa adalah perkara yang kita lakukan yang hati tidak tenang saat kita melakukannya dan kita tak mahu sesiapa pun tahu tentang perkara itu. Dalam poin ke-5, mungkin masih lagi kita dapat rasa bersalah dan tak tenang.

Namun apabila kita terus-menerus bergelumang dalam kelalaian dan tidak mahu melawan bisikan buruk dan meningkatkan kembali iman, kita akan terus jauh dan jatuh dalam kancah maksiat dan dosa.

Lebih teruk sekali saat ini, kita mula tidak rasa bersalah tentang dosa itu dan hati kita mula membisikkan kata-kata penyedap hati untuk melupakan dan menutup rasa bersalah itu.

Nauzubillahiminzalik.

7. Hadirnya rasa diri hipokrit dan ingin strip down the exterior

Mungkin inilah saat kemenangan sang bisikan buruk. Sang syaitan yang berselindung di sebalik huru-hara, haru-biru. Yang dimulakan dengan salah-silap dan kelalaian diri kita sendiri.

Di waktu poin ke-7 melanda diri kita, kita sudah tidak lagi kenal siapa kita yang sudah berhijrah. Yang sudah mendapat hidayah. Perasaan makin merundum, hati semakin gusar.

Keputusan buka tudung, keputusan buka jubah, keputusan tinggalkan kopiah semua akan terjadi. Sebab kita tak dapat tanggung rasa hipokritnya diri ini.

Allahu akbar, allahu akbar, allahu akbar. Calamity demi calamity kita biarkan terjadi pada diri apabila kita mula lalai.

Tamat.

Saya ingin akhiri artikel ini dengan satu pesanan penting kawan saya.

Walau apapun terjadi, jangan lupa panjatkan doa sepenuh hati pada Allah SWT

اَللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ, ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِك
(Allahumma ya Muqollibal-quluub, thabbit qolbi `ala diniKA)

“Ya ALLAH, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMU”

Dan lawanlah bisikan buruk itu, ikutlah bisikan baik.

Dan cubalah gali lebih ilmu dan amal segala yang sudah kita tahu.

Dan berilah ruang dan peluang pada diri – untuk ditegur, dinasihati dan dilentur.

Dan pecahkan dinding ego yang menebal supaya diri kita tak terlali.

Minta pengampunan Allah SWT sentiasa. Taubatlah walau 150 juta kali adanya. Semoga kita semua istiqamah dan menemui pengakhiran yang baik-baik semuanya.

Allahumma amin.