7 Pelajaran Mengenai Poligami

23 December 2015 by John Doe.

Poligami atau berkahwin banyak merupakan satu subjek yang tabu untuk diperbincangkan. Selalunya kisah poligami akan diiringi air mata. Cuma persoalannya, adakah poligami saja yang beriringan air mata? Atau hanya air mata sajakah yang mengiringi poligami?

Baru-baru ini gua berkesempatan menghadiri satu seminar yang dianjurkan oleh K-Fiqh iaitu Seminar Fiqh Poligami. Pembentang-pembentang yang ditampilkan juga tak kurang hebat antaranya Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi, Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, Prof. Madya Dr. Mohd Basri, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Pn. Nurul Adni, YAA Dato’ Dr Mohd Naim Mukhtar dan juga Kapten Hafiz Firdaus.

So pendek cerita, gua rangkumkan pelajaran yang dapat diambil dari seminar ini dalam 7 senarai di bawah.

1. Kemampuan Berpoligami
Kemampuan berpoligami bagi gua adalah sama sahaja seperti perkahwinan biasa. Bezanya cuma berkahwin hanya sekali atau berkahwin lagi. Jika korang rasa korang layak berkahwin selepas melepasi syarat-syarat yang ditetapkan, maka apa yang perlu dilakukan untuk berkahwin lagi adalah untuk upgrade lagi syarat yang ada ke tahap yang lebih tinggi. Matematik mudahnya, jika korang cukup penyayang ketika ini, korang perlu jadi penyayang kuasa dua untuk perkahwinan yang seterusnya. Jika korang dapat sara keluarga ketika ini, korang kena ada kemampuan kuasa dua untuk menyara dua keluarga misalnya.

2. Hukum Berpoligami
Seperti yang gua katakan di atas, sama saja macam perkahwinan biasa. Jadi sunnah bila dibuat ikut syariat dan ada kebaikan atau maslahah syarak dalam perkahwinan tersebut. Jadi wajib jika ada keyakinan untuk mampu berkahwin dan yakin jika tidak berkahwin lagi boleh mengakibatkannya terjebak dalam maksiat. Jadi makruh jika sekadar mengharapkan keseronokan melalui perkahwinan dan meragui kebolehan untuk berlaku adil. Haram pula bagi yang yakin memang tidak mampu dan bakal mengakibatkan mudarat kepada orang lain ataupun tak ada kewibawaan untuk berpoligami. So sama saja hukumnya macam kita belajar dalam kursus kahwin dulu. Paling penting kita kena faham yang dimaksudkan dengan sunnah bukanlah sekadar buat dapat pahala tak buat tak apa tapi yang sebenarnya adalah buat dapat pahala besar, tak buat rugi besar.

3. Untuk Siapa Poligami?
Agama umpama farmasi. Poligami adalah ubat yang diberikan kepada sebahagian orang dan tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Bagi orang yang sepatutnya, ubat tersebut pasti ada kebaikan untuknya walaupun kadang-kadang dia tidak tahu. Begitu juga poligami adalah pintu kecemasan dan bukan untuk semua orang. Secara umumnya orang nak naik bas perlu ikut pintu utama. Tetapi jika ada keperluan, pintu kecemasan harus digunakan. Fakta yang dibawakan adalah lebih kurang 80% orang Islam di Malaysia tidak bersolat. Fikirlah apa yang bakal terjadi jika orang yang tidak bersolat mengamalkan poligami? Jadi keperluan poligami bukan bersifat umum seperti Panadol.

4. Salah Faham Masyarakat
Salah faham masyarakat hari ini yang menggunakan kisah Rasulullah SAW tidak membenarkan Ali RA memadukan Fatimah RHA sebagai dalil mereka menolak poligami. Jika dilihat pada sambungan asal hadith, Rasulullah SAW mengatakan bahawa Baginda SAW tidak sesekali menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Namun adalah tidak wajar memadukan puteri Rasulullah SAW bersama puteri musuh Allah SWT iaitu anak Abu Jahal. Kapten Hafiz ada bagitahu bahawa Ali RA sudahpun memadukan Fatimah RHA dengan hamba sahayanya yang dimerdekakan saat Fatimah RHA masih hidup lagi.

5. Bahaya Poligami
Sebelum berkahwin, ketaatan seorang wanita adalah kepada kedua ibu bapanya. Sebab itu syurga di bawah telapak kaki ibunya. Bila sudah berkahwin, ketaatan wanita adalah kepada suaminya. Jadi syurganya kini di dalam redha suaminya. Namun bila berpoligami, kunci syurga bagi suami pula kini terletak dalam kemaafan dan keredhaan isterinya. Maka suami dah turun pangkat dan isteri naik pangkat. Jaga-jaga para lelaki! Poligami boleh juga jadi asbab untuk korang tempah tiket menuju neraka.

6. Pandangan Negatif Masyarakat
Kebiasaan masyarakat menganggap isteri muda sebagai perampas manakala lelaki yang berpoligami sebagai gila seks. Jaga-jaga kerana takut tuduhan itu terkena kepada Baginda SAW dan juga para ibu orang mukmin iaitu isteri-isteri Baginda SAW. Tidak sepatutnya melabelkan perempuan yang mencari suami orang sebagai perampas atau terhegeh-hegeh kerana dia buat berkenaan adalah demi masa depannya. Kena faham bahawa berkahwin bukanlah sekadar keperluan seks semata tapi lebih kepada soal kehidupan. Sebab itu wajar bagi wanita menawarkan diri untuk menjadi madu bila tengok ada lelaki yang berkaliber. Contohnya sahabiah yang menawarkan menjadi madu kepada isteri Rasulullah SAW kerana mahukan kelebihan sebagai orang yang dekat dengan Baginda SAW.

7. Pengamalan Poligami
Bila sudah bersedia, seorang suami pada gua wajib diletakkan syarat untuk mengikuti jalan yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. Biarlah mahkamah yang menilai kelayakan kita untuk berkahwin lagi. Jangan ambil jalan mudah dengan berkahwin di Siam misalnya kerana tak ada langsung kewibawaan bagi lelaki sebegini. Dan sepatutnya pasangan yang mahu berpoligami ini diwajibkan menghadiri kursus dan seminar seumpama ini agar masing-masing faham tentang hak dan tanggungjawab mereka. Jika melakukan sesuatu tanpa ada ilmu, maka boleh jadi teruk juga natijahnya.

Macam biasa, kalau nak baca huraian panjang lebar lagi, boleh bacanya di #notasiku. Sampai sini saja. So, rasa-rasanya korang nak tak?

 

Penulis

  • Bijen M.

    Lulusan IT dengan pengkhususan dalam Kejuruteraan Perisian & Pengurusan Korporat, kini berusaha membina potensi modal insan di sebuah syarikat petrokimia di Kerteh, Malaysia. Dalam masa yang sama memberi masa secara sambilan mempelajari bidang agama, usul dakwah, pengurusan kewangan dan psikologi. Menulis di #notasiku.

  • Iwani Khalid

    Salam bro Bijen, artikel paling wasatiy tentang poligami saya pernah baca. Daebak!!!