7 Perkara Yang Anda Perlu Ketahui Mengenai Kitab Dala’il al-Khayrat

Tempoh hari yang lalu saya telah ke Muzium Kesenian Islam Malaysia untuk menghadiri pameran istimewa yang diadakan di sana, iaitu Dala’il al-Khayrat: Manuskrip Doa Dari Abad ke-16 Hingga Abad ke-19 masihi.

Mungkin ada yang tertanya-tanya dan mungkin ini merupakan kali pertama mereka mendengar tentang kitab Dala’il al-Khayrat ini. Jadi dalam artikel kali ini, saya akan menerangkan 7 perkara yang anda perlu ketahui mengenai kitab Dala’il al-Khayrat.

#1: Pengenalan Kitab Dala’il al-Khayrat

Kitab Dala’il al-Khayrat atau nama penuhnya Dala’il al-Khayrat wa Syawariq al-Anwar fi Zikr al-Salat ‘ala al-Nabi al-Mukhtar (Petunjuk Kebaikan dan Pancaran Cahaya dalam  Berselawat ke atas Nabi Yang Terpilih) merupakan kitab yang terkandung dalamnya selawat-selawat, puji-pujian, doa-doa ke atas Nabi Muhammad yang dikarang di Maghribi pada abad ke-15 masihi oleh seorang ahli sufi terkenal ketika itu, al- Imam Sayyid Abu Abdillah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli (Imam al-Jazuli).

Kitab ini masyhur dalam kalangan mereka yang selalu beramal dengan amalan selawat dan ia bukan sahaja terkenal di negara Maghribi bahkan turut diamalkan kandungannya ke negara-negara lain termasuk negara kita.

#2: Pengenalan Imam al-Jazuli

Imam al-Jazuli atau nama penuhnya Muhammad bin Sulaiman dilahirkan di daerah Jazulah, sebuah daerah di negara Maghribi. Beliau merupakan seorang ulama yang terunggul pada zamannya dan beliau berketurunan Nabi Muhammad melalui nasab Sayyid Idris bin Abdullah bin al-Hasan al-Muthanna bin Hasan bin Sayyidina Ali bin Abi Talib, suami Sayyidah Fatimah binti Sayyidina Muhammad salallahu alayhi wasallam.

Dilahirkan di Jazulah, dan di sanalah beliau dibesarkan, mendapat pendidikan al-Qur’an dan ilmu-ilmu dalam bidang yang lain sebelum bermusafir ke Fas dan bertemu dengan Sayyidi Ahmad Zarruq, seorang tokoh yang terkenal pada ketika itu. Beliau seorang ilmuan yang unggul namun beliau lebih suka menyibukkan dirinya dengan ibadah, hidup secara zuhud dan amat sukakan amalan selawat ke atas Nabi sehingga beliau mengasingkan dirinya daripada orang ramai.

Setelah Imam al-Jazuli engembara ke pelbagai negara timur, menunaikan haji dan menemui ulama-ulama besar, beliau kembali ke tanah airnya semula, Jazulah. Beliau menetap di sana sehingga kewafatannya pada 16 Rabi’ul Awwal 870 Hijrah semoasa solat Subuh akibat diracun. Semoga Allah menetapkan beliau bersama-sama dengan golongan yang bersama dengan Nabi Muhammad salallahu alayhi wasallam. Amin.

Dala'il al-Khayrat, Semenanjung Tanah Melayu

Cetakan Dala’il al-Khayrat di Semenanjung Tanah Melayu

 

#3: Kisah Penulisan Kitab Dala’il al-Khayrat

Pada suatu hari, Imam al-Jazuli mendapati waktu solat telah masuk. Beliau pun pergi untuk berwudhu’ namun tidak menjumpai sebarang timba untuk mengambil air dari telaga. Sedang beliau berfikir, tiba-tiba seorang anak perempuan kecil menghampiri beliau dari tempat yang tinggi.

Anak kecil itu bertanya, “Siapakah tuan?” Maka Imam Jazuli pun menjelaskan keadannya dan kesulitan yang sedang beliau hadapi.

Budak perempuan itu berkata lagi, “Tuan ada seoarang lelaki yang terpuji dan terkenal, tetapi bingung bagaimana hendak mendapatkan air telaga ini!”

Anak kecil itu pun menghampiri tepi telaga tersebut dan meludah ke dalamnya. Hal ini membuatkan air telaga tiba-tiba naik dan Imam al-Jazuli pun mengambil wudhu’.

Imam al-Jazuli lantas berkata selepas berwudhu’ “Wahai anak kecil, dengan apakah kamu dapat meraih kedudukan ini?”

Anak kecil itu menjawab, “Dengan memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad salallahu alayhi wasallam.”

Setelah mendengar rahsia itu, Imam al-Jazuli lantas bersumpah untuk menyusun sebuah kitab berkaitan selawat ke atas Nabi Muhammad salallahu alayhi wasallam.

Setelah kitab itu selesai dikarang, dinamakan kitab itu dengan Dala’il al-Khayrat wa Syawariq al-Anwar fi Zikr al-Salat ‘ala al-Nabi al-Mukhtar (Petunjuk Kebaikan dan Pancaran Cahaya dalam  Berselawat ke atas Nabi Yang Terpilih)

Kisah ini diambil daripada Shaykh Yusuf bin Ismail al-Nabhani.

#4: Pengamalan Kitab Dala’il al-Khayrat

Kitab Dala’il al-Khayrat mengandungi pecahan-pecahan (hizb) untuk dibaca mengikut hari. Terdapat 8 hizb untuk diamalkan selama lapan hari berturut-turut. Pada zaman Kerajaan Uthmaniyyah, pembacaan dilakukan pada hari Isnin sehingga hari Isnin minggu seterusnya. Sementara di Kashmir pembacaan bermula hari Jumaat sehingga hari Jumaat minggu seterusnya.

Antara selawat-selawat yang dikarang di dalam kitab Dala’il al-Khayrat ialah Selawat Ibrahimiyyah, Selawat Imam asy-Shafi’i, Selawat Munjiya, dan Selawat Ulul Azmi.

#5: 201 Nama Nabi Muhammad

Imam al-Jazuli telah menghimpunkan 201 nama dan gelaran dari sumber yang sahih yang dinisbahkan ke atas Nabi Muhammad salallahu alayhi wasallam. Antara nama-nama Nabi Muhammad salallahu alayhi wasallam ialah al-Mahi, al-Hasyir, al-‘Aqib, al-Mutawakkil, al-Muqaffi, Nabiyu at-Taubah, Nabiyu al-Marhamah, Nabiyu al-Malhamah.

#6: Dala’il al-Khayrat di seluruh dunia

Selain dicetak di Maghribi, pencetakan kitab Dala’il al-Khayrat turut meluas ke negara-negara seperti Uzbekistan, Kashmir, Turki, Afrika Utara, Mesir, China, sebahagian negara di benua kecil India dan juga negara-negara Asia Tenggara termasuk Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Jawa di Indonesia.

Gambaran Rawdah dan Ka'abah

Ilustrasi Rawdah dan Ka’abah

Setiap negara menghasilkan cetakan yang tersendiri seperti di China terdapat ilustrasi minbar dan dikarang doa penutup manakala di Uzbekistan terdapat biografi Imam al-Jazuli dan di Afrika Utara dimasukkan sekali Qasidah Burdah yang terkenal yang dikarang oleh Imam al-Busiri.

#7: Dala’il al-Khayrat di Muzium Kesenian Islam Malaysia

Dala'il al-Khayrat

Atas inisiatif Muzium Kesenian Islam Malaysia untuk mendedahkan masyarakat Malaysia dengan kitab yang merupakan khazanah Islam ini, pihak muzium mengumpulkan beberapa manuskrip Dala’il al-Khayrat dari beberapa negara dari abad ke-16 sehingga abad ke-19.

Para pembaca yang berminat bolehlah hadir ke  Muzium Kesenian Islam Malaysia, Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur. Muzium dibuka setiap hari bermula 10 pagi sehingga 6 petang. Setiap pelawat akan dikenakan cas RM14 dan RM7 bagi pelajar dan warga emas.

Semoga bermanfaat.