7 manfaat mereka yang menghadiri Majlis Maulid

Jumhur ulama berpendapat tanggal 12 Rabiul Awwal sebagai tarikh kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ dan ada yang menetapkan pada tarikh yang lain seperti 9 Rabiul Awwal menurut Syeikh Abdul Aziz al-Dabbagh dan Imam al-Ghazali pula berpandangan tarikh kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ jatuh pada 10 Rabiul Awwal.

Namun semua ulama bersetuju dengan hari kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ iaitu pada hari Isnin.

Akhir-akhir ini kita dikelirukan dengan sesetengah pendapat dari beberapa ulama yang begitu ekstrem mengharamkan perayaan Mauli Nabi dengan berdalilkan perayaan atau acara ini tidak diraikan ketika Sayyiduna Rasulillah ﷺ masih hidup.

Menurut Maulana Muhammad Abdullah, seorang pendakwah yang ‘alim dalam bidang hadis, beliau menyatakan;

“Apa-apa perkara yang Sayyiduna Rasulillah ﷺ tidak buat pada zamannya, tidak menatijahkan sebarang hukum dan ia bukan dalil mutlak untuk menyatakan perkara tersebut haram.”

Sambung beliau lagi;

Mengikut kitab-kitab kaedah feqah, perkara yang Sayyiduna Rasulillah ﷺ tidak buat tidak boleh dihukumkan sebagai perkara itu salah atau dilarang kecuali perkara itu memang dilarang oleh Sayyiduna Rasulillah ﷺ.

Rakaman penuh Maulana Muhammad Abdullah di SoundCloud.com

Sambutan Maulid Nabi sangat dianjurkan oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana ada beberapa manfaat dan pengajaran yang dapat diambil oleh mereka yang hadir.

Berikut 7 manfaat bagi mereka yang menghadiri majlis sambutan kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ.

Manfaat #1: Memperingati sirah Sayyiduna Rasulillah ﷺ

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi akan diperdengarkan dengan sirah-sirah dari kelahiran sehingga perjalanan hidup Sayyiduna Rasulillah ﷺ.

Dengan memperingat sejarah kehidupan Sayyiduna Rasulillah ﷺ, para hadirin akan dididik hati mereka dengan sifat-sifat Sayyiduna Rasulillah ﷺ dan menambahkan lagi kerinduan umat kepada Sayyiduna Rasulillah ﷺ.

Hal ini diungkapkan dalam kitab karangan al-Habib Umar bin Hafiz, ad-Dhiyaul Lami’ Bi Zikri Maulidin Nabi as-Syafi’ (Cahaya yang Terang Bendarang, Dalam Memperingati Kelahiran Nabi Pemberi Syafaat)

Maka semaklah akan sifat-sifat imam yang terpilih dan hadirkanlah hatimu, nescaya terpenuhilah hatimu dengan kerinduan kepadanya

Demi Allah ulang-ulanglah peringatan sifat-sifat Muhammad  ﷺ., agar menjadi penawar dan pengikis kotoran-kotoran hati.

Antara kitab sirah Sayyiduna Rasulillah ﷺ yang dibacakan dalam majlis Maulid Nabi ialah Kitab Maulid Diba’i (Al-Imam Al-Jalil Abdurrahman Ad-Diba’i), Kitab Maulid Simtud Duror (Habib Ali bin Abdur Rahman al-Habsyi), Kitab Maulid ad-Dhiyaul Lami’ (Habib Umar bin Hafiz) dan yang terkenal di nusantara, Kitab Maulid al-Barzanji (Syeikh Ja’far bin Hasan al-Barzanji).

Manfaat #2: Mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi akan diperdengarkan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an. Kitab-kitab sirah yang disebutkan tadi selalunya dimulakan dengan ayat-ayat al-Qur’an termasuk ayat dari surah al-Fath, surah at-Taubah dan surah al-Ahzab.

Manfaat #3: Berselawat ke atas Sayyiduna Rasulillah ﷺ

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi akan berselawat ke atas Sayyiduna Rasulillah ﷺ sesuai dengan ayat dari surah al-Ahzab yang bermaksud;

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu kepadanya dan ucapkan salam kepadanya. (al-Ahzab, 33: 56)

Umum mengetahui yang 1 selawat kita ke atas Sayyiduna Rasulillah ﷺ, Allah akan membalas kepada kita 10 selawat. Kita berselawat dengan kekurangan dan serba kelemahan, tetapi Allah membalas selawat kita dengan kebesaran dan kekuatanNya.

Bayangkan rahmat dan kebesaran yang kita perolehi dalam majlis Maulid Nabi dan bayangkan rahmat dan kebesaran yang kita juga terkena tempias dari orang-orang yang turut berselawat bersama-sama.

Manfaat #4: Melahirkan rasa gembira atas kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi melahirkan rasa gembira atas kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ sesuai dengan ayat dari surah ad-Dhuha yang bermaksud;

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (ad-Dhuha, 93:11)

Wajib bagi kita untuk bergembira atas nikmat kurniaan dari Allah kerana Allah telah menjadikan kita sebagai umat yang mulia dan Sayyiduna Rasulillah ﷺ sebagai nabi kita. Ini merupakan nikmat terbesar yang pernah Allah kurniakan kepada kita dan wajib kita bergembira dan bersyukur atas kelahiran Sayyiduna Rasulillah ﷺ sebagai pembawa rahmat untuk umatanya.

Manfaat #5: Berkumpul dengan para alim ulama

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi dapat berkumpul dengan para alim ulama dan mereka boleh mendapatkan manfaat atas perkongsian ilmu yang disampaikan oleh mereka.

Alim ulama merupakan pewaris para nabi dan rasul dalam menyampaikan ilmu agama dan membimbing mereka ke jalan yang lurus.

Manfaat #6: Berkumpul dengan orang-orang soleh

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi dapat berkumpul dengan orang-orang yang soleh.

Manfaat #7: Mengeratkan hubungan sesama orang Islam

Mereka yang hadir ke majlis-majlis sambutan Maulid Nabi secara tak langsung merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan sesama orang Islam serta dapat membina kekuatan dan kesatuan bagi umat Islam itu sendiri.

Ini antara manfaat yang diperolehi bagi mereka yang hadir dalam majlis Maulid Nabi dan banyak lagi manfaat yang sebenarnya yang boleh diambil dalam menghadiri majlis-majlis seperti ini.

Semoga bermanfaat dan mohon kongsikan kepada yang lain. Wallahu a’lam.