7 jenis rumah yang biasa kita dengar tapi… tahu tak?

Dari saya kecil hingga besar, saya suka menelinga apa yang diperbualkan oleh ibu bapa, aunties uncles, saudara-mara yang dah bekerja dan berkeluarga dan terkini rakan-rakan yang dah bekerja dan bekeluarga.

Topik hangat yang sering mereka bualkan: RUMAH.

Artikel saya pada hari ini ingin membongkar dan meleraikan curiousity saya sendiri tentang jenis-jenis rumah yang ada di Malaysia. Sebelum anda mendabik dada, memekakkan telinga dan membutakan mata – anda pasti ke anda tahu setiap jenis rumah dan ciri-cirinya?

Setiap negara mungkin mempunyai terma yang sama tapi ciri-cirinya akan sedikit berbeza. Ciri-ciri sesebuah rumah itu akan dibezakan dari segi jenis rumah, fasiliti, sudut legal, pemilikan tanah, harga dan lain-lain.

LANDED

Dalam kategori atas tanah (landed), rumah akan dibina dengan satu tingkat, dua tingkat dan tiga tingkat. Tiga tingkat paling maksimum yang saya pernah dengar di Malaysia namun tak mustahil, ada rumah empat tingkat. Tanah bagi rumah jenis ini dimiliki secara persendirian oleh pemilik rumah tersebut (individual title/geran individu).

1. Rumah teres / Terraced house

Rumah Teres dari lckholdings.com

Gambar Rumah Teres dari LCK Grou

Anggap saja rumah teres macam sandwich disebabkan tiada ruang kosong antara rumah jenis ini. Di kiri atau kanan rumah pasti ada sebuah rumah lain. Rumah teres kadang-kadang dibina dua-dua, tiga-tiga atau lebih. Sedikit tanah kosong akan didapati di belakang atau di depan rumah teres yang biasanya akan digunakan untuk bercucuk-tanam dan sidai baju. Kalau nak untung, dapatkan corner lot iaitu rumah paling hujung dalam barisan rumah teres – barulah dapat ruang tanah yang besar di tepi rumah dan boleh buat BBQ serta mini swimming pool. Nama lain untuk rumah teres ini ialah linked house.

2. Rumah berkembar / Semi-detached]

Semi-detached dari Projek Perumahan Terkini

Gambar Rumah Semi-detached dari Projek Perumahan Terkini

Kalau rumah teres macam sandwich, rumah semi-detached (semi-d, rumah berkembar, separa terpisah) kita anggap kembar siam sebab rumah jenis ini duduk bersebelahan, tertampal di tengah dan di tepi yang bertentangan akan ada ruang kosong. Di ruang kosong ini biasanya pemilik rumah akan tambahkan tempat letak kereta, bercucuk-tanam, buat landscaping dan sebagainya. Aktiviti sidai baju pun biasa dilakukan di sini atau di belakang rumah. Ada pemilik rumah juga yang akan buat renovasi dan tambah bilik atau besarkan ruang. Saya juga biasa lihat pemilik rumah membeli semi-d secara berpasangan dan menjadikannya satu rumah yakni banglo!

3. Banglo / Bungalow

Banglo dari SimpleMalaysian

Gambar Rumah Banglo dari SimpleMalaysian

Lonely soldier boy ialah frasa yang kita boleh fikirkan bila bercerita tentang banglo. Rumah banglo akan mempunyai kawasan yang agak luas untuk dirinya sendiri dan jarak antara satu rumah banglo dengan rumah banglo yang lain pun agak jauh. Rumah banglo juga dikenali sebagai detached house (rumah terpisah). Pemilik rumah banglo harus dan semestinya bercucuk-tanam di sekeliling rumah!

STRATA

Dalam kategori strata (level), rumah dibina bertingkat-tingkat di sebuah kawasan tanah. Dan setiap tingkat akan beberapa unit-unit rumah. Tanah bagi rumah jenis ini dimiliki secara kongsian dengan semua pemilik unit rumah tersebut (strata title/geran strata). Strata adalah kata nama plural untuk stratum dan bermaksud layer atau level dari sudut bahasa. Di Malaysia, agak sukar untuk membezakan rumah jenis strata kerana kebanyakannya meminjam ciri-ciri satu sama lain.

Saya harus memberi kredit kepada abah saya, blog agen hartanah, Wikipedia, forum-forum yang banyak memberi info tentang jenis rumah untuk kategori strata. Pening membacanya sebenarnya sebab jurang perbezaannya sangat kecil! Saya akan cuba huraikan untuk anda satu-persatu dan mengikut kebiasaan di Malaysia.

4. Flat / Pangsapuri

Rumah flat dari Kosmo!

Gambar Rumah flat dari Kosmo!

Flat biasanya dibina dalam satu kawasan dan mempunyai beberapa blok didalamnya. Setiap blok akan mempunyai 3 ke 14 tingkat atau lebih. Rumah jenis ini adalah rumah yang paling murah dan kebanyakan rumah jenis ini kosnya rendah atau sederhana rendah. Pada kebiasaannya, flat tidak dilengkapi dengan sebarang servis seperti pengawal keselamatan atau lif yang baik servisnya. Namun ada juga saya pernah tengok flat yang ada playground, kedai-kedai dan surau. Pemilik rumah flat hanya memiliki kawasan rumahnya saja dan koridor panjang di luar rumah adalah milik bersama. Dari segi parking kereta, siapa cepat dia dapat dan tiada parking berbumbung. Dua ciri lain tentang flat ialah tingkap rumah ini adalah jenis ‘naco’ dan berlantaikan simen. Pada pendapat peribadi saya, rumah flat adalah pelaburan yang menguntungkan dalam jangka masa pendek dan panjang. Jika anda hendak membuat pelaburan hartanah pertama, jangan sisihkan flat dari pilihan anda!

5. Apartment

Apartment dari RumahSewa

Gambar Apartment dari RumahSewa

Dari segi saiz keluasan, apartment lebih besar dari flat tapi lebih kecil dari condominium. Dari segi harga, boleh dikatakan apartment dalam lingkungan kos rendah ke sederhana, tapi tengok lokasi juga. Dari segi ketinggian, kita boleh lihat apartment yang jenis low-rise (rendah) dan kebanyakan high-rise (tinggi). Pemilik apartment akan memiliki keseluruhan unitnya, kawasan di depan unitnya dan selain dari itu dimiliki bersama. Antara kemudahan yang disediakan termasuk pengawal keselamatan, ruang letak kereta berdaftar (berbumbung dan tidak) swimming pool, clubhouse dan kedai-kedai berdasarkan harga apartment tersebut.

Ada satu lagi pecahan di bawah apartment iaitu serviced apartment. Serviced apartment adalah commercial property dan dibina di atas tanah komersil bukan perumahan. Dari segi cukai, pemilikan dan hal-hal legal, banyak bezanya.

6. Condominium

Gambar Condominium dari IPPStatic

Gambar Condominium dari IPPStatic

Condominium adalah yang paling mewah antara kesemua jenis rumah strata. Rekabentuknya moden, unitnya luas dan kemudahan-kemudahan yang disediakan lebih banyak dan hebat dari apartment. Namun begitu saya masih rasa berdasarkan lokasi, ciri-ciri ini tiada beza antara apartment dan condominium. Pengawal keselamatan condominium biasanya sangat tegas. Setiap pemilik atau penyewa akan mempunyak kad akses untuk memasuki kawasan condominium. Pelawat akan diminta mendaftar diri waktu masuk dan keluar kawasan dan pemandu teksi juga tidak dikecualikan! Setiap unit akan diberikan ruang letak kereta berdaftar. Kebanyakan condominium mempunyai sebuah unit dinamakan clubhouse dan di sini terdapat swimming pool, gym, surau, kedai-kedai makan, pejabat management, laundry dan pelbagai fasiliti lain yang tersedia untuk pemilik dan penyewa. Condominium juga boleh dipecahkan kepada beberapa sub-unit iaitu biasa, standard, penthouse dan duplex yang berbeza dari segi rekabentuk, keluasan dan harga.

7. Townhouse

Rumah Townhouse dari RoseProperty Gallery

Rumah Townhouse dari RoseProperty Gallery

Townhouse adalah satu jenis rumah yang agak menarik. Ia boleh dikatakan gabungan antara strata dan landed dari segi rupa bukan legal dan pemilikan tanah. Rumah townhouse biasanya 2 tingkat atau lebih. Di bandar saya tinggal, ada sebuah townhouse 4 tingkat. Uniknya townhouse ini kerana rupanya seolah-olah rumah teres tapi setiap tingkat ada unit yang tidak bersambung antara satu sama lain – maksudnya, setiap pemilik memiliki 1 unit untuk sesuatu tingkat di rumah townhouse itu. Pemilik rumah akan memiliki pintu rumah berbeza dan bahagian letak kereta sendiri. Untuk rumah townhouse 2 tingkat, kawasan sekitar rumah akan dibahagi dua namun untuk rumah townhouse lebih dari 3 tingkat, kemungkinan besar tidak akan banyak ruang untuk dikongsi sebab ia mirip rumah strata lain. Dari segi fasiliti, townhouse mungkin atau mungkin tidak mempunyai pengawal keselamatan dan lain-lain. Townhouse di bandar saya merupakan rumah townhouse 4 tingkat, dan setiap unit ada 2 tingkat. Fuh, houseception tak?

AKHIR KATA

Bagi saya semua jenis rumah ada baik-buruknya. Rumah landed best sebab ada kawasan untuk bercucuk-tanam, sidai baju dan nak buang sampah hanya di luar rumah sendiri. Dan rumah strata best sebab dapat hidup secara jemaah, kalau di kawasan yang dibenarkan akan ada nasi lemak dan goreng pisang sepanjang hari dan untuk rumah strata jenis kos sederhana ke atas, akan ada pengawal keselamatan dan swimming pool. Yang penting, kita sentiasa kena bersyukur jika kita mempunyai rumah untuk berteduh sedangkan masih ramai yang tidak mampu menyewa, membeli mahupun mendiami tempat tinggal yang berbumbung.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk para pembaca yang mana tahu, sedang mencari rumah atau selalu mendengar jenis-jenis rumah tapi tak dapat bezakan dan bayangkan. Dan mungkin saya patut beri lebih perhatian kepada subjek Kajian Tempatan masa Darjah Empat dulu… kan?

Ada sebarang maklumbalas, pendapat, komen tentang artikel ini? Jom share dengan kami di Facebook 7senarai!