7 sinar di sebalik yang suram (Bahagian 1)

Jam menunjukkan 12:30 tengah malam, Emir menghembuskan nafas paling panjang. Rasa sesak di dada belum lagi hilang. Dia masih ada 7 jam lagi untuk bertahan.

“Hey Rizky, can you back me up for a min? I need to go on a quick break.”

Emir mengangguk malas. Dia mencapai jaket kulit dan stokin paling tebal di rak peribadinya dan bangun dari mejanya untuk ke server room mengambil-alih tugas Trevor, rakan sekapalnya pada malam yang sunyi-sepi, hening dan penuh amarah itu.

Habislah aku. Belum masuk server room pun dah meleleh-leleh hingus. Confirm jadi snowman kejap lagi. Tolonglah jangan lama sangat break kau tu Trevor.

Emir menghalakan kad aksesnya untuk masuk ke server room. Namanya terpampang di skrin.

Hold on to your horses Emir Rizky, authorization in progress. 

Heh. Senyuman kelat terukir saat notis tersebut terpampang di skrin. Usaha murni boss bipolar mereka untuk menghiburkan pekerja shif malam harus dipuji.

Sewaktu pintu dibuka, Emir mencapai kad aksesnya seraya menyarungkan jaket kulit pemberian si dia yang pernah – 2 tahun dahulu. Stokin tebal telah dia pakaikan tadi. Pintu tertutup di belakangnya dan dia mengambil nafas yang terdalam dan menghembuskannya sepuas hati.

Sambil membetulkan posisi monitor dan keyboard di meja server admin, niat untuk melabuhkan punggung dengan penuh perasaan lega terbantut. Dia mendengus kerana terpaksa membetulkan ketinggian kerusi.

Aih. Kenapalah si mat salleh ni tinggi sangat! 

Karier di data center pada tahun 2016 tidak lagi seperti 10 tahun lepas. Proses dan pengendalian yang dahulu banyak dilakukan secara manual kini telah diautomasikan selaras dengan perkembangan pelbagai perisian dan teknologi. Sekarang, seorang server admin dengan mudahnya dapat mengendalikan 1,000 buah server pada sesuatu masa. Walaupun Emir hanyalah seorang customer support representative di Blue Velvet, dia banyak mengambil ilmu dari Arjunaidi – rakan sekerjanya yang paling senior dan hebat di situ.

Emir seringkali berasa cemburu setiap kali Arjunaidi dipuji pelanggan dan boss bipolar mereka.

Mujur Emir pandai memendam perasaannya semata-mata untuk mengambil peluang untuk mengutip ilmu dari si maharaja dewa server!

“Sepatutnya aku dah Netflix and chill kat atas katil waktu ni. Semua pasal kau Arjunaidi. Aku kena bermalam kat igloo ni! This better be worth it!”

Emir tak habis-habis mengeluh sambil membaringkan kepalanya di meja. Ditepisnya keyboard yang mengganggu. Matanya melilau sekeliling bilik sejuk itu.

STRICLY NO DRINKS AND FOOD ALLOED IN THE SERVER ROOM.

Mata Emir terpandang satu notis besar berlatar-belakang warna merah dan teks putih dalam huruf besar. Teringat peristiwa 3 bulan lepas yang hampir-hampir membuat boss bipolar merendam dia dalam air panas sebelum memecatnya tanpa belas kasihan. Emir memejam matanya rapat-rapat untuk memadam imbauan memori itu.

Kenapalah Arjunaidi juga yang kena selamatkan aku waktu tu? Macam takde orang lain! Aku macam tak punya pilihan selain berterima-kasih kepada dia. Nasiblah.

“Hey Rizky, one day if you plan to blow the data center up, please send me a memo first.” 

Arghhh. Ayat si Trevor selepas kejadian itu masih segar dalam ingatannya. Trevor memang suka bila ada rakan sekerja lain buat hal. Motto hidupnya ialah untuk menjadi staff of the year dalam organizer boss bipolar – setiap edisi, setiap tahun. Malangnya, dia hanya mampu berdiri belakang bayang-bayang Arjunaidi.

Fikiran Emir melayang dan terus melayang sehingga dia terlelap.

(Bersambung ke Bahagian 2)