7 Keunikan orang Amerika

14 October 2015 by John Doe.

Suatu yang agak menyesalkan bilamana saya tidak mempunyai ramai kenalan dari Amerika namun banyak tentang mereka yang berkait rapat dengan kehidupan saya sejak dari kecil lagi. Yelah, mereka pengaruh besar dalam pelbagai bidang dalam hidup kita, setuju tak?

Pembaca tahu kita kena banyak kawan dengan pelbagai bangsa? Hanya dengan mengenali, barulah kita boleh menyayangi dan mencontohi. Sebab itulah Pencipta kita menciptakan kita bukan saja berlainan rupa, fizikal tapi juga bangsa dan negara.

Hari ini, saya ingin menulis perkara unik tentang orang Amerika. Untuk membantu penulisan saya pada kali ini, saya telah bertanya kawan-kawan yang pernah tinggal di Amerika sama ada waktu mereka kecil, sekolah, di Institusi Pengajian Tinggi mahupun bekerja. Selain itu, saya membuat pemerhatian saya sendiri dari video YouTube yang saya gemar tonton.

1. Mereka akan jatuh cinta dengan makanan Thai lepas sekali cuba dan selepas itu, no turning back!

Saya tersengih sambil menulis point pertama. Saya suka tengok video resipi dan makanan di YouTube. Memang selalu jumpa video reviu makanan, my first time dan resipi yang dikongsikan oleh orang Amerika dan biasanya kalau melibatkan makanan Thai, video itu pasti penuh ekspresi dan mata sentiasa bulat tak tutup-tutup!

Saya ada bincangkan dengan kawan kenapa mereka teruja sangat dengan makanan Thai dan kami membuat konklusi makanan Amerika sebenarnya agak bland dan tak ada rasa yang kuat sama ada dari rempah-rempah atau cili. (Maafkan saya jika fakta ini salah!). Kalau makanan Amerika yang agak oomph mesti dipengaruhi gaya dan rasa Mexico dan hey, itu bukan perkara yang teruk ya. Makanan kita di Malaysia pun saling berkongsi rasa dan gaya dari pelbagai bangsa dan etnik, mahupun negeri!

Mark Wiens dan t-shirt kegemarannya. Gambar dari forknplate.com

Mark Wiens  (eatingthaifood.com) dan t-shirt kegemarannya. Gambar dari forknplate.com

Saya nak kenalkan pembaca semua kepada salah seorang personaliti makanan YouTube kegemaran saya, Mark Wiens. Mark ialah contoh terbaik orang Amerika yang dah jatuh cinta dengan makanan Thai dan no turning back! Mark ditakdirkan bertemu dan memperisterikan gadis Thai, sekarang tinggal di Bangkok, tak boleh hidup tanpa cili padi dan nam pla – dan ha, yang paling epik – dia lagi pandai masak tom kha gai, pad kraphao gai dari tukang masak kedai Thai berdekatan rumah anda, okay!!! Percayalah!

2. Mereka biasa dengan budaya ‘tipping’

Kalau dalam Islam, tipping sama juga konsepnya dengan sedekah.

Ada beberapa restoran di Malaysia yang akan menyediakan kotak tipping untuk kita tinggalkan duit baki lepas buat pembayaran atau masukkan duit tambahan untuk tujuan tipping. Tak silap saya, jumlah terkumpul akan dikongsi bersama semua pekerja restoran tersebut.

Budaya tipping ini agak janggal di kalangan kita kan? Atau budaya ini bukan sesuatu yang kita heboh-hebohkan dan anjurkan orang lain buat. Kalau kita rasa nak buat, buat. Tak rasa nak buat, jangan buat. Kalau dalam Islam pula, kita memang dianjurkan bersedekah tapi sejauh mana, sekerap mana kita buat?

Di Amerika, tipping diamalkan dengan agak meluas. Mereka akan memberi tip dalam bentuk wang kepada sesiapa yang memberikan servis kepada mereka eg: pemandu teksi, pendandan rambut, orang potong rambut, pekerja hotel, waiter dan lain-lain.

Bila dapat perkhidmatan yang baik, mereka akan balas dengan tip yang besar. Saya teringat satu babak sebuah filem yang saya tonton bertahun-tahun lepas, pekerja hotel hantar beg pelanggan (seorang pelancong tak silap saya) ke bilik dan bila dia letak saja beg itu, dia hulurkan tangan. Pelanggan itu sambut dengan senyuman, salaman dan terus tutup pintu! Tergamam pekerja hotel itu sebelum dia berlalu dengan muka redha.

Dari sudut Islam, budaya tipping ini mungkin ada baiknya bila kita anjurkan secara spesifik. Pekerja akan memberi servis yang lebih baik dan ikhlas untuk mengharapkan tip dan semestinya dia harus memastikan keredhaan dan keberkatan Allah SWT yang dia cari terlebih dahulu dan tidak kecewa jika tidak dapat tip. Pelanggan pula akan dapat peluang berkongsi rezeki. Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima!

3. Mereka memandu dengan cermat dan berhemah

Mungkin anda tergelak membaca point ini namun ia agak tepat tau. Pensyarah universiti saya yang mencadangkan point ini berdasarkan pengalamannya sendiri sewaktu belajar di sana. Pensyarah saya juga sempat membuat perbandingan antara pemandu di sini, Malaysia dan di sana. Bagai langit dan bumi. Teehee.

Saya juga sempat membuat sedikit kajian tentang point ini dan saya menjumpai satu artikel bertajuk 11 negara dengan pemandu terbaik seluruh dunia dan Amerika berada di tempat ke-9. Singapura pula di tempat ke-10.

Saya pernah menyaksikan sendiri dalam siri TV kegemaran saya suatu ketika dahulu, Amazing Race bagaimana pemandu teksi menolak untuk memandu lebih laju apabila disuruh salah seorang peserta. Saya harap saya betul dan tak tersilap memori!

4. Mereka terbuka untuk belajar dan diajar

Saya tak rasa point ini hanya untuk orang Amerika sahaja tapi saya ingin kongsikan sebuah cerita menarik seorang sahabat kongsikan di group WhatsApp kami yang mencetuskan idea untuk menulis point ini.

Kak Su bekerja sebagai seorang guru dan tinggal di Amerika. Minggu lepas, dia meminta kami mendoakan keselamatan mereka kerana dikhabarkan ada sebuah kumpulan akan melakukan demonstrasi Anti-Islam di masjid-masjid sekitar 20 bandar di sana. Semua masjid terlibat telah mendapat kerjasama dan penjagaan pihak polis bagi menghadapi demonstrasi ini.

Beberap hari kemudian, kami menerima khabar semua baik-baik saja daripada kak Su. Dan dengan gembira dan teruja, dia juga menyatakan antara ahli demonstrasi tersebut ramai juga berjaya dibetulkan persepsi mereka tentang Islam. Syabas kepada AJK masjid, brothers dan sisters kita di sana yang giat dan bijak berdakwah. Mereka yang pada mulanya turun padang untuk melaungkan sorakan anti-Islam kembali ke rumah masing-masing dengan pengetahuan yang baru dan benar tentang Islam yang sebenarnya. Mereka juga berjanji akan belajar lebih lagi tentang Islam.

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan taufik kepada mereka dan kita.

5. Mereka tidak tinggalkan meja makan di restoran fast food bersepah

Sejak pandai makan di restoran dari saya kecil, saya tidak menyedari hal ini. Saya selalu anggap itu tugas seorang pelayan.

Sehingga saya di bangku sekolah, saya mendapat tahu tentang tabiat ini dari video-video yang saya lihat dan juga pernah berlaku di depan mata saya sendiri. Ya, di restoran fast food terutamanya, kebanyakan orang Amerika memang kemaskan meja mereka. Ada juga sehingga buang sampah sendiri ke dalam tong yang disediakan.

Saya pun sedang cuba membiasakan diri untuk berbuat yang sama. Bukan susah sangat pun. Ini juga memastikan saya tidak makan bersepah! Sebab nanti diri sendiri kena kemas!

Kalau di rumah kita kemas lepas makan, kenapa tidak di luar kan? Paling minima pun, pastikan semua rapi dan senang dibersihkan.

6.  Mereka menjual makanan dalam saiz hidangan besar dan ini bermaksud betul-betul BESAR

Point ini dikirim oleh sahabat saya, kak E yang pernah membesar di Amerika bersama keluarganya. Walaupun mungkin lebih banyak keburukan yang kita boleh huraikan dari point ini lebih-lebih lagi makanan yang biasanya dihidangkan dalam saiz besar ini makanan yang kurang sihat dan kurang berkhasiat.

Hey, mestilah makanan sihat yang agak mahal kosnya akan dijual dalam kuantiti sederhana, sama juga macam di Malaysia.

Tapi dari sudut yang berbeza, makanan yang hidangannya besar ini sangat membantu para pelajar dan mereka yang mempunyai bajet makanan yang kecil. Saya setuju juga dengan point ini!

Bila kita dapat membeli satu jenis makanan sahaja yang boleh tahan seharian, ia sangat berbaloi dan menjimatkan. Betul tak?

7. Mereka sangat, sangat, sangat, terlalu menggilai #halalguys

HALAL GUYS

OH, LIHATLAH DUNIA! Kredit gambar: Facebook The Halal Guys

Makanan di Halal Guys yang sering dilihat ialah hidangan nasi (saya rasa nasi Arab tapi mungkin tak juga), ayam atau kambing yang pastinya dah digaul rempah-ratus dan perencah yang meletup, dicincang dan dimasak garing, ditabur sayur yang rangup serta kepingan roti macam roti Arab dan akhirnya, dicurahkan dengan sos putih yang sangat magikal dan fantastik (white sauce) dan sos merah (hot sauce) yang oomph.

Saya tak pernah rasa pun makanan Halal Guys tapi biasanya, seperti di atas inilah deskripsi yang diberikan oleh instagrammers dan pengguna sosial media di sana. Tak percaya? Boleh lihat #halalguys di Instagram atau Facebook anda nanti!

Bila saya teringat fenomena Halal Guys, saya tergelak dan geleng kepala. Bagaimana Halal Guys boleh popular di Amerika sehinggakan digilai semua lapisan masyarakat dan bangsa di sana adalah suatu perkara yang menakjubkan.

Dah hampir 25 tahun Halal Guys bertapak di bandar New York sebagai sebuah food truck. Orang Amerika panggil mereka legend dan mereka juga food truck yang pertama menghidangkan makanan halal. Kini mereka telah membuka cawangan di SoCal (Southern California) dan beberapa lokasi lagi.

Paling menarik, Halal Guys akan membuka cawangan di Malaysia juga!

Bolehlah kita rasakan keistimewaan sos putih nanti!

Beratur panjang untuk menikmati Halal Guys di tepi jalan!  Gambar dari Yelp

Beratur panjang untuk menikmati Halal Guys di tepi jalan! Gambar dari Yelp

Berakhir sudah artikel saya tentang keunikan orang Amerika.

Saya harap artikel ini menghiburkan dan sedikit sebanyak memberi manfaat pada kita semua.

Agaknya keunikan masyarakat mana pula patut saya bongkarkan selepas ini?

Penulis

  • Iwani Khalid

    Pernah ada blog diberi nama Orang Type Banyak. Tapi dah insaf dan cuba untuk type sedikit tapi bermanfaat diselit sedikit dry humour. Pelajar Bahasa Arab yang berdedikasi. Bekerja sebagai freelance web designer untuk menampung kehidupan. Berazam untuk mengelola sebuah akademi belajar Bahasa Arab dan Al Quran di Cyberjaya! Masih single dan mencari bakal imam ..... chop! Jangan nak bakal imam I sangat, you please solat kat masjid taw!

  • Potofluck

    Hehehe optimistic article ni. Di saat2 orang hangin dgn org US, penulis cuba lihat dari sudut positif. Keep it up! Tak boleh lah kita nak pukul rata kan dan kat US pon ramai practicing muslims. Banyak yang kita dapat belajar dari cara dakwah deorang. Anyway, saya rasa saya akan jadi golongan yg berator tu bila halal guys datang! belum rasa, dah dapat imagine dribble dribble

    • Iwani

      Hahaha ok jumpa kat queue Halal Guys nanti!