7 Ragam Ayat Perintah (Dalam Al-Quran)

2 April 2015 by John Doe.

Kebiasaannya ayat perintah bertujuan untuk ‘memerintah sesuatu dengan perasaan yang lebih tinggi kepada yang diperintah’. Contohnya perintah seorang komandan kepada orang bawahannya. Atau arahan daripada seorang ayah kepada anaknya.

Ini adalah makna bagi ayat perintah yang asal. Maksud arahan seperti ini biasa kita ketahui.

Namun begitu, oleh kerana indah dan halusnya bahasa Al-Quran, kadang-kadang berlaku juga makna yang terkeluar daripada maksud asal dan kebiasaan ayat perintah. Ini bermakna ayat perintah tidak lagi membawa makna “suatu perintah dari orang atasan kepada orang bawahan” tetapi terdapat maksud yang lain.

Menarik, bukan?

Sebenarnya terdapat lebih daripada 7 ragam ayat perintah. Tetapi saya hidangkan 7 ragam sahaja beserta contoh daripada ayat-ayat Al-Quran.

Mari kita lihat contoh-contoh yang terdapat di dalam Al-Quran. Saya galakkan pembaca budiman sekelian menyemak sendiri ayat-ayat ini di dalam naskhah Al-Quran masing-masing supaya kita lebih menghayati kahalusan dan keistimewaan Al-Quran ini.

Ragam 1 : Doa

Walaupun dalam ayat ini mengandungi kata kerja perintah namun ia tidak membawa makna perintah. Sudah tentulah tidak layak bagi manusia yang lemah ini memerintah Tuhannya yang Maha Agung.

Oleh itu ayat perintah di sini membawa makna DOA iaitu permohonan dari darjat bawah ke atas atau permohonan daripada seorang hamba kepada Khaliqnya.

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu (An-Naml: 19)

Ragam 2 : Ancaman

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ

Buatlah apa yang kamu suka (Fussilat : 40)

Ayat perintah di sini bukanlah bermaksud arahan supaya melakukan sesuatu perkara tetapi perintah ‘Buatlah!’ di sini membawa maksud ANCAMAN. Jika pembaca meneliti konteks keseluruhan ayat 40 ini, kata-kata ‘buatlah’ ditujukan kepada golongan yang menyeleweng dari jalan yang benar.

Ragam 3 : Penghinaan

قُلْ كُونُوا حِجَارَةً أَوْ حَدِيدًا

Jadilah kamu batu atau besi (Al-Israa : 50)

Mengikut konteks ayat dari 49 hingga 50, ia berkenaan kaum musyrik yang tidak percaya dan ragu-ragu akan berlakunya hari akhirat. Malah mereka mempersoalkan bagaimana mungkin jasad mereka yang sudah menjadi tulang-belulang, reput dan hancur boleh dihidupkan kembali. Maka pada ayat 50 ini Allah menghina mereka dengan uslub ayat perintah. “Jadilah kamu batu dan besi!”

Maksudnya, biar pun kamu (orang musyrik) menjadi batu dan besi atau apa sekali pun sesungguhnya Allah tidak lemah untuk menghidupkan kamu. Pasti Allah akan menghidupkan kembali. Jadi, ayat perintah di sini bukan memberi maksud arahan tetapi lebih kepada penghinaan kepada kaum yang tidak percaya kepada hari kebangkitan.

Ragam 4 : Keharusan

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ

Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu (Al-Baqarah : 60)

Mengikut konteks ayat ini, ia bukanlah memberi maksud perintah untuk makan dan minum. Tetapi lebih kepada penyataan keharusan kepada makhluk untuk makan dan minum.

Ragam 5 : Syukur dan Terima kasih.

Sama juga di sini, ayat perintah untuk makan bukanlah dengan makna asal iaitu arahan untuk makan semata. Namun lebih kepada arahan mengerjakan perbuatan makan sebagai mensyukuri nikmat Allah.

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ

Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, (Al-Maidah :88)

Ragam 6 : Kesamaan

اصْلَوْهَا فَاصْبِرُوا أَوْ لَا تَصْبِرُوا سَوَاءٌ عَلَيْكُمْ ۖ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan”. (At-Thur : 16)

Tujuan uslub ayat perintah di sini lebih membawa maksud kesamaan. Iaitu sama ada seseorang ynag berada dalam neraka itu bersabar atau tidak, sama saja natijahnya.

Ragam 7 : Memuliakan

ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ آمِنِينَ

Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman”.( Al-Hijr : 46)

Ayat perintah ‘masuk!’ di sini adalah untuk memuliakan. Ini kerana dalam konteks ayat ini, ia adalah jemputan untuk masuk ke dalam syurga.

Begitulah sedikit sebanyak 7 ragam ayat perintah dalam konteks bahasa Arab. Sebenarnya ketika saya diundang oleh Cikpuan Admin untuk menulis di ruang 7 senarai, saya sedang mengulangkaji kitab Durus Al-Balaghah (kitab yang membincangkan kesenian dan keindahan bahasa Arab dan Bahasa Al-Quran). Jadi saya mengambil keputusan berkongsi dengan rakan pembaca serba sedikit hasil bacaan saya. Moga ada manfaatnya.

Moga-moga juga saya akan dapat terus berkongsi perkara-perkara bermanfaat di sini.

Jumpa lagi! Insya-Allah. :)

Ada sebarang maklumbalas, pendapat, komen tentang artikel ini? Jom share dengan kami di Facebook 7senarai!

Penulis

  • mariam