7 potongan ayat Al-Quran dengan huruf waw, huruf waw itu magik

Sebelum saya mulakan, saya mahu pembaca jawab ‘iya’ kepada 3 soalan saya.

  1. Benarkah Al-Quran dapat menggembirakan hati yang sedang sedih? Iya.
  2. Mahukan anda mendalami Al-Quran untuk menyelami setiap ayat indah yang Allah SWT perkatakan kepada kita? Iya.
  3. Percaya tak apabila saya katakan, mukjizat Al-Quran itu sangat hebat hinggakan pada satu huruf و berbaris atas itu terkandungnya magik yang sangat menusuk kalbu? Ye ke? Bagaimana?

Eh, bukankah arahan saya tadi ‘iya’? Tapi iya, saya pasti kenyataan terakhir itu terlalu romantis dan dramatis sehingga tindakan refleks dan saraf-saraf berfikir anda terjaga dan perasaan ingin tahu mula menusuk kalbu.

Bukan ayat saya. Background orang beri percuma. Text saya conteng di Photoshop.

Saya belajar membaca Al-Quran dengan mak sejak tadika lagi. Belum ada iqra’ pada zaman itu jadi metodologi yang dipakai mak ialah mengeja setiap suku kata. Kerana kesabarannya mengajar dan membetulkan bacaan saya, saya berjaya khatam Al-Quran bersama mak. Apabila perasaan ingin mentelaah dan mentadabbur Al-Quran timbul dalam naluri saya, saya mula perasan tentang kalimah  َو

Terjemahan sentiasa bertukar-tukar untuk kalimah ini. Selalunya maksudnya “dan”, tiba-tiba dia jadi “demi” dan ada ketikanya lesap terus dari terjemahan, tidak diterjemah langsung kalimah ini. Kenapa ini berlaku?

Saya tidak mendapat jawapan yang saya mahukan sehinggalah saya mula mempelajari Bahasa Arab antara tahun 2013 – 2014. Walaupun و  hanya satu huruf sahaja tapi dalam Bahasa Arab ia adalah kalimah yakni perkataan yang memberi makna apabila digandingkan dengan perkataan lain, ia bukan semata-mata abjad.

Sekurang-kurangnya huruf و  mempunyai 15 maksud atau tugas dalam Bahasa Arab. Untuk artikel hari ini, saya hanya mahu menunjukkan dua contoh utama yang kita akan sering jumpa dalam Al-Quran iaitu waw qasam (waw sumpah) dan waw ataf (waw kata penghubung).

Cara untuk kenal waw ataf (dan) dan waw qasam (demi)

Tips ini sesuai untuk orang awam yang tidak pernah mempelajari Bahasa Arab. Dengan tips ini, sudah cukup untuk kita mendalami ayat yang sedang dibaca dengan penghayatan yang berbeza dari biasa. Percayalah! Bila kita makin tahu tentang Bahasa Arab, makin kita dapat menghayati ayat-ayat Al-Quran yang tidak dapat dileraikan melalui terjemahan. Saya akan terangkan tips ini besertakan potongan ayat. Untuk potongan ayat ketiga sampai akhir, pastinya anda sudah dapat meneka waw yang mana satu dan terjemahannya sekali: Demi atau Dan. Cuba tau!

1. Surah Al-Lail, ayat 1 (92:1)

وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى

Perhatikan waw dan al-laili. Selepas waw qasam (sumpah), kita dapati kalimah seterusnya berakhir dengan baris bawah. Ayat di atas ialah waw sumpah jadi terjemahannya ialah “Demi malam… apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya)”

2. Surah Al-Baqarah, ayat 115 (2:115)

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Perhatikan waw dan al-maghribu. Selepas waw ataf (kata penghubung), kita dapati kalimah seterusnya berakhir dengan baris depan. Ayat di atas ialah waw ataf jadi terjemahannya ialah “Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat…”. Kalau anda bertanya kenapa waw ini tidak diterjemahkan kepada demi sedangkan kalimah seterusnya baris akhirnya di bawah, anda sudah sedia untuk belajar Bahasa Arab di Basooir.com bersama saya!

Untuk potongan ayat ketiga hingga ketujuh, tanpa melihat terjemahan cuba agak-agak jawapannya berdasarkan tips di atas. Siapa yang ingin berkongsi dan berbincang jawapan, boleh ke Facebook 7senarai.

3. Surah Al-Maidah, ayat 3 (5:3)

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

4. Surah Qaf, ayat 12 (50:12)

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَأَصْحَابُ الرَّسِّ وَثَمُودُ

5. Surah At-Tawbah, ayat 1 (9:1)

بَرَاءةٌ مِنْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدتُّمْ مِنْ الْمُشْرِكِينَ

6. Surah Al-Asr, ayat 1 (103:1)

وَالْعَصْرِ

7. Surah Ya-Sin, ayat 1 – 2 (36:1-2)

يس وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ

Ada sebarang maklumbalas, pendapat, komen tentang artikel ini? Jom share dengan kami di Facebook 7senarai!

  • noorh

    TERBAIK…