7 topik berkenaan bacaan Al Quran diulangkaji untuk persediaan bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan bakal menyapa kita yang berada di Malaysia dan kawasan sekeliling tak lebih dari 9 jam lagi. Malam ini, kita akan mula berterawih dan esok, kita akan mula berpuasa.

Apakah yang kita tahu tentang bulan Ramadhan selain daripada ianya sinonim dengan: lapar, dahaga, panas, PARAM, terawih 8 ke 10, tazkirah di tengah terawih, sahur lambat, sahur awal, iftar ke iftor ke buka puasa dan… moreh?

Mungkin beberapa tahun yang lalu itu saja yang kita tahu namun alhamdulillah, semakin kita meniti hari tua, semakin hati mahu mendekati Allah SWT; semakin banyak perkara aneh dan luar jangkaan akal berlaku di seluruh pelusuk dunia, semakin mahu kita cakna dengan Al Quran yang sudah lama tersimpan rapi di rak sebelah katil.

Allah SWT menyebut tentang Ramadhan hanya dalam ayat 185 dari surah Al Baqarah namun kesinambungan tentang berpuasa ialah dari ayat 183 – 186. Saya kongsikan ayat 185 di bawah untuk kita mencatit beberapa point penting tentang bulan Ramadhan:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنْ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

3 points yang saya rasa menarik untuk disemat dalam diri kita sempena menyambut bulan Ramadhan ini ialah:

  • bulan Ramadhan ialah bulan di mana turunnya Al Quran
  • … turun untuk menjadi petunjuk bagi sekalian manusia
  • pada bulan Ramadhan ini, Allah akan memudahkan banyak perkara

3 points ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang kita harus cuba memperbanyakkan bacaan Al Quran. Kalau di bulan biasa, sekali seminggu, kita cuba 3 hari seminggu. Kalau sekarang, 2 mukasurat sekali, kita cuba 10 mukasurat sekali. Tingkatkan goal bacaan Al Quran masing-masing, dan jangan kedekut dengan masa kerana pada bulan Ramadhan yang penuh barokah, keberkatan ini – Allah SWT memudahkan segalanya yakni buatlah segala yang bermanfaat, akan Allah SWT cukupkan masa 24jam sehari itu untuk melakukan semuanya. Tapi ingat, jangan sekadar baca sahaja, ambil masa dan ruang untuk menghayati ayat-ayat Allah SWT kerana setiapnya ada ibrah untuk dipelajari, ada hukum untuk difahami, dan ada hikmah untuk kita terapkan dalam kehidupan seharian – begitulah Al Quran sebagai petunjuk kepada sekalian manusia.

7-topik-berkenaan-bacaan-Al-Quran-diulangkaji-untuk-persediaan-bulan-Ramadhan

Ahlan ya Ramadhan!

Ok khalas (dah dah), jom mula ulangkaji!

Ini bukan artikel untuk menceritakan tentang hukum tajwid yang terperinci namun beberapa topik unik, tempat unik di dalam Al Quran akan saya ketengahkan dalam artikel ini untuk yang belum tahu untuk dipelajari, yang sudah tahu boleh buat ulangkaji. Ada yang berkaitan dengan hukum tajwid, ada berkaitan dengan gaya/simbol penulisan dalam Rasm Uthmani (Uthmaanic Orthography), ada dari segi bacaan/qiraat, ada juga yang tidak terkandung dalam mana-mana kategori.

1. Beza simbol mim ekor panjang dan simbol mim ekor pendek

Terdapat banyak simbol dalam mushaf (kitab, buku) Al-Quran rasm Uthmani dengan ciri-ciri dan funsginya tersendiri. Simbol ini juga bertujuan untuk membantu kita membaca dengan lancar, mengenali hukum bacaan di mana simbol itu berada dan mengurangkan kesilapaan dari segi bacaan.

Antara yang menarik minat saya untuk dikongsi bersama pembaca sekalian ialah simbol mim م

Simbol-simbol ini biasa terletak di atas huruf. Untuk simbol mim, ada dua bentuk yang kita biasa lihat: mim ekor panjang dan mim ekor pendek.

7senarai: Simbol mim ekor panjang dan simbol mim ekor pendek

Simbol mim ekor panjang dan simbol mim ekor pendek, baca kanan ke kiri

Bulatan purple menunjukkan simbol mim ekor pendek ini ialah indikator untuk wajib berhenti atau wajib waqaf. Cara untuk waqaf berpandukan perkataan terakhir itu sendiri dan bagaimana bentuk imbuhan akhirnya. Untuk ayat di atas, boleh semak bacaan dengan audio di bawah.

Bulatan merah menunjukkan simbol mim ekor panjang yang dinamakan mim iqlab. Hukum tajwid ini mengharuskan kita menukar harakat tanwin atau nun sakinah kepada bunyi mim tanpa tekanan pada makhraj mim (bersedia menyebut huruf ba). Dalam erti kata mudah faham, tukar huruf nun kepada mim jadi bukan min tapi mim dan pastikan bibir direnggang dan jangan tertutup rapat. Sebutan yang betul akan menghasilkan sebutan yang ringan, ikhfak (sembunyi, antara idgham [gabung, masuk] dan izhar [jelas]) berserta dengung. Boleh semak bacaan dengan audio di bawah.

2. Simbol berlian/diamond solo dalam Al Quran

Tahukah pembaca semua yang Al Quran adalah sebuah conversation yakni dalam bentuk perbualan. Kata-kata Allah SWT diturunkan kepada Rasulullah salallahu alayhi wasallam melalui Jibrail alayhissalaam.  Dan kita sebagai manusia takkan boleh bertutur dengan fasih dan perfect dari segi pemilihan kata, gaya bahasa, intonasi, content dan context, maksud dan pelbagai sudut lain lagi – perkara ini mustahil bagi kita manusia. Namun, tidak untuk Allah SWT kerana telah terbukti Al Quran itu adalah pertuturan paling hebat, paling magikal, paling tersusun rapi.

Kita akan lihat salah satu dari magik yang ada pada Al Quran dalam surah Hud, ayat 41 seperti di bawah.

Tanda imalah dalam surah Hud

Tanda imalah dalam surah Hud, ayat 41 (11:41)

Di bulatan merah,  ada simbol berlian/diamond di bawah huruf ro ر . Simbol ini menunjukkan huruf ini harus dibaca barisnya dengan kaedah imaalah. Imaalah bermaksud condong, cenderung sebelah, senget dan dari sudut istilah hukum bacaan, kita harus melafazkan bunyi baris asal iaitu fathah menghampiri baris kasrah atau alif kepada ya atau lebih mudah difahami, mencondongkan sebutan dari baris atas ke arah baris bawah. Ingat! Kita hanya perlu mencondongkan sahaja bunyi itu, bukan benar-benar menukarkan bunyinya. Untuk perkataan ini, asalnya majraahaa akan menjadi majraayhaa (condong) dan bukan majriihaa (terus tukar).

Semak bacaan di bawah

Informasi tambahan untuk simbol imaalah

  • Bacaan imaalah ini hanya ada di ayat 41, Surah Hud sahaja menurut qiraat Imam Hafs. Dan kita di Malaysia dan Indonesia umumnya mengamalkan bacaan riwayat Hafs. Boleh baca selanjutnya di sini tentang Sejarah dan Perkembangan Qiraah ‘Ashim riwayah Hafs.
  • Sebutan senget majraayhaa sangat kena pada makna ayat ini. Terjemahan ayat ini adalah lebih kurang seperti berikut: [Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘ Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya ‘. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”] – dalam ayat ini Allah SWT menceritakan bagaimana Nabi Nuh sedang memberi arahan kepada pengikutnya dan oleh kerana keadaan air banjir bergelombang, Nabi Nuh mungkin tersebut majraayhaa sebab kapal sedang berada dalam keadaan senget dan membuatkan sebutan asal terpesong sedikit. Ini memang satu yang sangat magikal, para pembaca harus cuba bayangkan situasi tersebut. Dan ingat tak, Al Quran ialah sebuah pertuturan jadi situasi Nabi Nuh ini diceritakan kepada kita dengan sangat teliti sehingga perubahan sebutan juga diterapkan untuk memberi impak yang lebih jelas akan situasi sebenar ayat ini. Subhanallah, saya sendiri terpaku sekarang! Informasi asal saya dapat dari ustaz Nouman Ali Khan di pautan ini dan saya perincikan lagi olahan saya untuk tujuan tadabbur. Jika saya salah, tolong betulkan ya!
  • Bagi para pembaca yang sedang belajar bahasa Arab – Imaalah berasal dari kata kerja sulasi mujarrad مال يميل ميلا di bawah bab iv yakni أمال يميل إمالة

3. Membezakan huruf mim م dan ha ه

7senarai: Membezakan huruf mim dan ha

Membezakan huruf mim dan ha dalam ayat 229, surah Al Baqarah (2:229)

Saya memang ada masalah membaca tulisan sambung yakni dalam tulisan rumi sekalipun. Dalam ayat 229, surah Al Baqarah ini, terdapat beberapa cara penulisan huruf mim yang seakan-akan sama dengan huruf ha bulat. Bacaan saya seringkali terganggu dan terberhenti apabila berjumpa dengan tulisan begini. Mulai hari ini, mari kita cuba hafal rupa bentuk huruf-huruf ini supaya bacaan Al Quran kita lebih lancar dan tidak perlu berhenti untuk check handphone lagi.

Beberapa klue yang kita boleh beri perhatian

  • huruf mim akan menyondong ke kanan bawah dan berbentuk swirl kecil di posisi tertentu seperti contoh bima’ruuf
  • huruf mim masih lagi menyondong ke kanan bawah dan swirl panjang sedikit seperti dalam contoh yukiimaa dan fiima
  • manakalah huruf ha bulat, condongnya ke bawah menegak dan lebih panjang dari huruf mim dari segi bentuk seperti contoh alayhimaa

4. Hamzatul wasl sebagai huruf pertama dalam perkataan di awal ayat. Nak bariskan apa?

Hamzatul wasl ini ialah huruf alif yang hanya disebut barisnya bila tiada perkataan sebelumnya. Untuk perkataan yang bermula dengan alif lam ال, kita sebut alif dengan baris atas. Contohnya, nama surah Al Fatihah, alif tidak berbaris tapi kita sedia maklum alif berbaris atas. Namun ada beberapa situasi lain seperti dalam ayat 96, surah Al Mu’minun yang agak mengelirukan

Nak letak baris apa atas hamzatul wasl dalam Ayat 96, Surah Al Mu'minūn (23:96)

Nak letak baris apa atas hamzatul wasl dalam Ayat 96, Surah Al Mu’minūn (23:96)

Jika perkataan yang bermula dengan hamzatul wasl ini berada di tengah ayat, kita tidak perlu membaca baris alifnya. Jika perkataan ini bermula di awal ayat seperti di atas, untuk membacanya kita kena tahu bagaimana untuk membariskan alif. Walaupun saya sendiri pelajar Bahasa Arab, dukacita saya maklumkan yang saya belum lagi menghafal kaedah atau mengenal wajah perkataan-perkataan yang bermula dengan hamzatul wasl ini. Saya ingin sertakan lakaran yang dilukis oleh ustaz Umair Ikhwan bagi membantu kita mengenalpasti baris hamzatul wasl. Mulai hari ini, saya sendiri mesti hafal kaedah dan wajah perkataan-perkataan ini!

7Senarai: Kaedah Membaris Hamzatul Wasl hasil lakaran ustaz Umair Ikhwan

Kaedah Membaris Hamzatul Wasl hasil lakaran ustaz Umair Ikhwan

Cuba baca ayat 96, Surah Al Mu’minūn (23:96) seperti gambarajah di awal topik dengan menggunakan kaedah di atas dan semak bacaan di bawah.

Perlukan lebih banyak latihan membaris hamzatul wasl? Boleh manfaatkan latihan yang dikongsikan oleh ustaz Saufy Jauhary

5. Pengecualian kepada kaedah membaris hamzatul wasl

Terdapat satu pengecualian kepada kaedah membaris hamzatul wasl di atas iaitu apabila hamzatul wasl bertemu dengan hamzatul qoto’ (huruf alif yang barisnya sentiasa disebut) yang terletak atas huruf mad ا و ي . Untuk situasi ini, hamzatul qoto’ tadi akan digantikan dengan huruf yang berada dibawahnya (yakni huruf mad itu) dan hamzatul wasl diberi baris bersesuaian dengan huruf mad selepasnya. Contohnya terdapat pada ayat di bawah

Hamzah Wasl bertemu Hamzah Qoto' atas Huruf Mad

Hamzah Wasl bertemu Hamzah Qoto’ atas Huruf Mad dalam surah Al Ahqaf, ayat 4 (46:4).

Lihat ayat ائتُونِي yang bermaksud “bawalah kamu kepadaku sebuah kitab” dan bagaimana untuk membacanya

  • jika dalam situasi waqaf, kita baca: eetuuni bikitaab
  • jika dalam situasi wasal, kita kekalkan bacaan asal: fissamaawaati’tuuni

Semak bacaan ketika waqaf di bawah

6. Tanwin bertemu hamzatul wasl – nak buat apa?

Apabila tanwin bertemu dengan hamzatul wasl dan huruf selepas hamzatul wasl itu berbaris mati/sukun atau sabdu/shaddah, kita harus menggugurkan satu baris dari baris tanwin dan menggantikannya dengan huruf nun yang diberi baris bawah – hal ini hanya berlaku apabila dalam bacaan wasl/sambung. Kita lihat contoh di bawah untuk pemahaman lanjut.

Tanwin bertemu hamzatul wasl dalam surah Al Kahf, ayat 88

Tanwin bertemu hamzatul wasl dalam surah Al Kahf, ayat 88. Bacaannya jazaaaa’anil husna

Semak bacaan ayat ini di bawah

Nota:

  • Ingat, baris yang ditinggalkan lepas digugurkan satu tanwin akan kekal seperti baris asal (baris atas, bawah, depan), tidak akan berubah. Dan huruf tambahan nun akan sentiasa berbaris bawah.
  • Untuk senarai semua ayat yang ada hukum ini, boleh dilihat di sini

7. Aneka simbol sin س

Terdapat dua jenis simbol sin س dalam penulisan Rasm Uthmani dan salah satu darinya diberi nama sin saktah. Bagi para pembaca yang menjadikan surah Al Kahf sebagai amalan hari Jumaat, sudah tentu kenal dengan simbol sin saktah ini. Simbol sin saktah ini terletak di atas huruf dan ia adalah indikator untuk kita memberhentikan bacaan buat seketika (diam sebentar) selama 2 harakat dan tanpa mengambil nafas baru, kita akan meneruskan bacaan. Jika perlu, para pembaca boleh minta sahabat-sahabat yang baik bacaan Al Qurannya untuk memberi demonstrasi bacaan dengan saktah ini kerana sukar untuk didengari melalui audio.

Menurut qiraat riwayah Imam Hafs, terdapat 4 tempat saktah tanpa khilaf iaitu

  • Al Kahf, ayat 1 (18:1)
  • Yasin, ayat 52 (36:52)
  • Al Qiyamah, ayat 27 (75:27)
  • Al Muţaffifīn (83:14)
Simbol sin saktah dalam surah Al Kahf, ayat 1 (18:1). Memberhentikan bacaan selama 2 harakat dan kemudian menyambung bacaan tanpa nafas baru.

Simbol sin saktah dalam surah Al Kahf, ayat 1 (18:1). Memberhentikan bacaan selama 2 harakat dan kemudian menyambung bacaan tanpa nafas baru.

Simbol sin al-matruk (huruf sin yang ditinggalkan) berada di atas huruf lain (huruf pengganti/badal) tapi tidak melepas baris/harakat huruf itu. Bandingkan dengan sin saktah, simbol sin berada di atas huruf dan barisnya. Simbol sin ini berada di antara huruf dan baris huruf itu. Untuk keadaan ini, kita akan mengabaikan huruf badal dan membaca dengan huruf al-matruk. Lihat contoh ayat ini

Simbol sin Al-Matruk dalam surah Al Baqarah, ayat 245 (2:245)

Simbol sin Al-Matruk dalam surah Al Baqarah, ayat 245 (2:245). Bacaannya dengan huruf sin bukan sod: Wayabsutu

Nota: Jika simbol sin berada di bawah huruf sod, maka melafazkan sod adalah lebih masyhur. Boleh lihat contoh dalam surah At Tur, ayat 37 (52:37)

Bonus: Ayat Sejadah

Ayat yang pada akhirnya ada simbol berbentuk kubah, macam corak dekat sejadah dipanggil ayat sejadah. Apabila ayat-ayat sejadah dibacakan oleh kita atau kita mendengar bacaan orang lain, kita dianjurkan untuk membuat sujud sajadah atau sujud tilawah. Di bulan Ramadhan, menjadi suatu yang agak kelakar bagi saya apabila imam solat terawih membaca ayat sejadah ini dan kami akan terkapai-kapai atau terkeliru sebentar bila tidak lagi selari perbuatan dengan imam kerana saya biasanya akan solat bersama imam luar negara atas sebab saya berada di tempat paling cool di Malaysia iaitu Cyberjaya di mana rata-rata imam solat jemaah kami dari golongan yang menghafal Al Quran (yang kerja biasa-biasa sahaja tau, bukan yang import khas!). Jadi kadang-kadang, jemaah terutamanya yang perempuan tidak faham pengumuman akan dibacakan ayat sejadah untuk rakaat tertentu.

Saya tertanya-tanya apakah ciri-ciri yang membuatkan sesuatu ayat itu terpilih menjadi ayat sejadah yang dianjurkan sujud selepas mendengar atau membacanya. Setelah membuat sedikit pembacaan dan carian, jika diperhatikan melalui ayat-ayat sejadah beserta terjamahannya, boleh kita rumuskan setiap ayat ini menyebut tentang sujud dan mempunyai makna patuh kepada Allah SWT. Apa pendapat para pembaca? Untuk maklumat lanjut dan lebih terperinci tentang sujud tilawah atau ayat sejadah ini, boleh layari artikel ini: Panduan Sujud Tilawah

Semoga pada tahun ini saya dan para pembaca yang mempunyai kisah yang sama akan lebih bersedia. Saya lampirkan kesemua ayat sejadah yang terkandung dalam Al Quran.

إِنَّ الَّذِينَ عِنْدَ رَبِّكَ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَيُسَبِّحُونَهُ وَلَهُ يَسْجُدُونَ

Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud. (Al ‘A’raf 7:206)

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلاَلُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ

Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar Ra’d 13:15)

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مِنْ دَابَّةٍ وَالْمَلاَئِكَةُ وَهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya). (49) Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan. (50) (An Naĥl 16:49-50)

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لاَ تُؤْمِنُوا إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً وَيَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); (107) Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): “Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.” (108) Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk. (109) (Al ‘Isrā’ 17:107-109)

أُوْلَئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Maryam 19:58)

أَلَمْ تَرَى أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ وَمَنْ يُهِنْ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ

Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya. (Al Haj 22:18)

أَلاَّ يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

“(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. “Allah! – Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar “. (An Naml 27:25-26)

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. (As Sajdah 32:15)

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ اسْجُدُوا لِلرَّحْمَنِ قَالُوا وَمَا الرَّحْمَنُ أَنَسْجُدُ لِمَا تَأْمُرُنَا وَزَادَهُمْ نُفُورًا

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): “Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!” Mereka bertanya: “Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?” Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar. (Al Furqān 25:60)

فَإِنْ اسْتَكْبَرُوا فَالَّذِينَ عِنْدَ رَبِّكَ يُسَبِّحُونَ لَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَهُمْ لاَ يَسْأَمُونَ

Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesakanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu. (Fussilat 41:38) [menurut majoriti ulama’]

Lima ayat di bawah ada perbezaan pendapat untuk dikatakan ayat sejadah atau tidak.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Al Haj 22:77)

قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَى نِعَاجِهِ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنْ الْخُلَطَاءِ لَيَبْغِي بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَقَلِيلٌ مَا هُمْ وَظَنَّ دَاوُودُ أَنَّمَا فَتَنَّاهُ فَاسْتَغْفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ

Nabi Daud berkata: ” Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat). (Sad 38:24)

فَاسْجُدُوا لِلَّهِ وَاعْبُدُوا

Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid). (An Najm 53:62)

فَمَا لَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ وَإِذَا قُرِئَ عَلَيْهِمُ الْقُرْآنُ لاَ يَسْجُدُونَ

Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman? Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud? (Al ‘Inshiqāq 84:20-21)

كَلاَّ لاَ تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)! (Al Alaq 96:19)


Semoga artikel ini bermanfaat bagi semua yang membaca. Jika ada sebarang kesilapan, maklumbalas, pendapat dan komen tentang artikel ini – kongsikan dengan kami di pautan ini

Rujukan: Nota Kursus Intensif Tahsin Tilawah (KIT Tilawah) 2014 oleh ustaz Aqib Ahmat “Ustaz Aqib sangat best sebagai guru Al Quran. Saya harap dapat belajar dengan dia lagi!”

  • noorh

    bermanfaat…jazakallah, saya sedang susun kaedah mudah baca Quran MANHAJ 370